Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jual kasut, selipar jenama tiruan antarabangsa, peniaga didenda RM26,000

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM26,000 (S$8,600) terhadap seorang peniaga yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dan menjual 657 pasang kasut dan selipat berjenama antarabangsa tiruan, awal tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Jual kasut, selipar jenama tiruan antarabangsa, peniaga didenda RM26,000

Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 10 Apr 2019 05:57PM Dikemas Kini : 10 Apr 2019 06:00PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini (10 Apr) menjatuhkan hukuman denda RM26,000 (S$8,600) terhadap seorang peniaga yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dan menjual 657 pasang kasut dan selipat berjenama antarabangsa tiruan, awal tahun ini.

Hakim Manira Mohd Nor, menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nur Hafizah Sharuddin, 23 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Dia didakwa memiliki 657 pasang kasut dan selipar pelbagai saiz menggunakan cap dagangan palsu jenama Adidas, Puma, Nike, Louis Vuitton dan Gucci di Fizah Nur Enterprise, Tingkat 3, Berjaya Time Square, pada 12 tengah hari, 16 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (B) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 (S$3,300) bagi setiap barangan yang diletakkan perihal akta dagangan palsu, atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 (S$6,600) bagi setiap barang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Nur Hafizah Sharuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan memandangkan perniagaannya itu sudah dihentikan dan pendapatannya bergantung pada hasil berniaga secara kecil-kecilan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikry Jaafar memohon hukuman setimpal bukan sahaja sebagai pengajaran kepadanya tetapi kepada masyarakat agar kesalahan sama tidak berleluasa serta mengambil kira kepentingan awam demi menjaga hak pengguna di Malaysia khususnya.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan