Skip to main content

Dunia

JS-SEZ tekad noktahkan aliran keluar tenaga mahir, tawar gaji premium saingi pasaran buruh SG

Anggaran Waktu Membaca:
JS-SEZ tekad noktahkan aliran keluar tenaga mahir, tawar gaji premium saingi pasaran buruh SG
Para penganalisis berkata minat yang semakin meningkat terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura didorong sebahagiannya oleh kerjasama kukuh antara Singapura dengan Malaysia. (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 10 May 2026 01:30PM
ISKANDAR PUTERI: Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini menjadi antara sandaran utama kerajaan negeri dalam usaha menoktahkan isu “brain drain” atau penghijrahan tenaga mahir dengan menawarkan ekosistem pekerjaan berpendapatan tinggi yang mampu menyaingi daya tarikan pasaran buruh di Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Invest Johor Natazha Hariss berkata, menerusi mandat baharu Invest Johor sebagai entiti korporat, fokus kini dialihkan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi yang bukan sahaja membawa modal, malah menjamin tangga gaji premium bagi rakyat tempatan.

Beliau berkata realiti jurang mata wang yang menyaksikan setiap sedolar Singapura kini mencecah paras RM3.30 hingga RM3.40 merupakan cabaran utama, namun JS-SEZ bakal menjadi pencetus perubahan dalam merapatkan jurang kualiti hidup pekerja.

"Hasrat kita adalah untuk menyediakan alternatif yang bermaruah. Kita tidak mahu rakyat Johor terus terperangkap dalam rutin bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk beratur di Tambak Johor semata-mata mencari pendapatan lebih.

"Meskipun gaji di sini mungkin tidak menyamai nilai dolar secara mutlak, namun dengan kos perniagaan yang lebih rendah di Johor, syarikat pelabur mampu menawarkan imbuhan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

”Apabila dipadankan dengan kualiti masa dan keseimbangan hidup tanpa perlu ulang-alik merentas sempadan, ini adalah tawaran yang jauh lebih berdaya saing," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya baru-baru ini. 

Bagi menyokong transisi ini, Encik Natazha berkata Johor kini menggerakkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai jambatan strategik bagi memastikan hampir 50,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setahun serta siswazah universiti di negeri ini tidak 'terlepas' ke luar negara.

Beliau berkata kerajaan negeri mengamalkan pendekatan proaktif dengan menyelaraskan tempoh pembinaan kemudahan industri dengan penyediaan tenaga kerja mahir secara selari.

"Kita mempunyai tempoh matang. Sebagai contoh, jika sesebuah kilang memerlukan 12 bulan untuk dibina, kita ada tempoh setahun itu untuk merancang latihan dan menyediakan pelajar mengikut spesifikasi yang diperlukan syarikat tersebut.

"Malah, sudah ada pelabur yang memeterai Memorandum Persefahaman dengan universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan menghantar pelajar kita ke negara asal mereka seperti China untuk latihan intensif.

Menurutnya lagi, langkah Ini membolehkan pemindahan kemahiran dan teknologi berlaku secara langsung agar sebaik sahaja kemudahan di Johor beroperasi, anak tempatan bersedia mengisi jawatan profesional yang ditawarkan. 

Mengulas mengenai kriteria pelaburan, Encik Natazha berkata Invest Johor kini lebih memilih dengan mengutamakan syarikat yang memfokuskan kepada automasi. 

Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing tidak mahir sekali gus membuka lebih banyak ruang pekerjaan berkualiti seperti jurutera, teknisyen dan akauntan.

"Jika syarikat tidak mahu berubah ke arah automasi, mereka akan terus bergantung kepada buruh manual. Di bawah JS-SEZ, kita mahu pelaburan yang menghasilkan produk selari dengan aspirasi kerajaan dan pada masa sama, menawarkan pulangan gaji yang mampan kepada ekonomi tempatan," katanya.

Pada tahun lalu, Johor mencatatkan prestasi pelaburan memberangsangkan berjumlah RM110 bilion (S$35.5 bilion) sekali gus menyasarkan angka lebih agresif yang mencecah RM140 bilion (S$45.2 bilion) menjelang 2026.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita