Skip to main content

Dunia

JS-SEZ: Pelabur setuju gaji minimum premium bermula RM3,500

Anggaran Waktu Membaca:
JS-SEZ: Pelabur setuju gaji minimum premium bermula RM3,500

Kerja-kerja dijalankan bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)

Diterbitkan : 20 May 2025 02:58PM Dikemas Kini : 20 May 2025 02:59PM
ISKANDAR PUTERI: Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menyatakan persetujuan untuk menawarkan gaji premium bermula RM3,500 (S$1,055)kepada tenaga kerja tempatan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan pelabur.

“Perkara utama dibincangkan adalah kita menggalakkan keperluan menetapkan gaji minimum untuk pemegang diploma sekitar RM3,500 ke atas dan bagi pemegang ijazah pula mesti memperoleh gaji RM4,000 (S$1,206) ke atas.

“Alhamdulillah, saya ingin maklumkan bahawa majoriti pelabur yang memilih untuk melabur di Johor menyatakan persetujuan terhadap hasrat ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Isnin (20 Mei).

Encik Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkarnain Kamisan (BN-Sri Medan) mengenai syarat ditetapkan kerajaan negeri kepada pelabur luar berkaitan pengambilan pekerja tempatan dan penetapan tangga gaji setara atau hampir setara dengan Singapura.

Bagaimanapun Encik Onn Hafiz berkata pelabur menetapkan dua syarat utama iaitu produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal seiring dengan kadar gaji ditawarkan.

Berhubung pengambilan pekerja tempatan, beliau berkata di peringkat Persekutuan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sudah menetapkan syarat komposisi tenaga kerja terdiri daripada 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing dalam sektor pembuatan.

Selain itu Encik Onn Hafiz memaklumkan pada pertemuannya dengan wakil sebuah syarikat dari China semalam, beliau dimaklumkan bahawa syarikat itu sudah melabur RM500 juta (S$510 juta) di Johor bagi fasa pertama dengan pelaburan tersebut dijangka mencecah sehingga RM3 bilion dalam beberapa fasa seterusnya.

“Mereka (syarikat pelabur dari China) menyatakan komitmen untuk mendapatkan tenaga kerja mahir tempatan dan mereka juga bersetuju menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Ini merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi Johor turut memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya dari segi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak tempatan,” katanya.
Sumber : Bernama/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita