Skip to main content

Dunia

JPMorgan akui tutup akaun Trump susuli serangan 6 Januari

JPMorgan Chase buat pertama kali mengakui bahawa ia menutup akaun bank Presiden Donald Trump dan beberapa perniagaannya dalam konteks politik dan perundangan menyusuli serangan 6 Januari 2021 ke atas Bangunan Capitol Amerika Syarikat.
 
Anggaran Waktu Membaca:
JPMorgan akui tutup akaun Trump susuli serangan 6 Januari
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba untuk sidang media di Rumah Putih, selepas Mahkamah Agung memutuskan bahawa beliau melampaui kuasa ketika mengenakan tarif, di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 20 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Elizabeth Frantz)
NEW YORK: JPMorgan Chase buat pertama kali mengakui bahawa ia menutup akaun bank Presiden Donald Trump dan beberapa perniagaannya dalam konteks politik dan perundangan menyusuli serangan 6 Januari 2021 ke atas Bangunan Capitol Amerika Syarikat. Ini merupakan perkembangan terbaharu dalam pertikaian undang-undang antara presiden itu dengan bank terbesar negara tersebut berhubung isu yang disebutkan sebagai “debanking”.

Pengakuan itu dibuat menerusi pemfailan mahkamah yang dikemukakan minggu ini dalam kes saman Encik Trump terhadap bank berkenaan dan ketuanya, Jamie Dimon. Presiden itu menuntut sebanyak AS$5 bilion (S$6.33 bilion), dengan mendakwa akaunnya ditutup atas sebab politik sehingga mengganggu operasi perniagaannya.

“Pada Februari 2021, JPMorgan memaklumkan Plaintif bahawa akaun-akaun tertentu yang diselenggara dengan CB dan PB JPMorgan akan ditutup,” tulis bekas ketua pegawai pentadbiran JPMorgan, Dan Wilkening, dalam pemfailan mahkamah tersebut. “PB” dan “CB” masing-masing merujuk kepada bank swasta dan bank komersial JPMorgan.

Sehingga kini, JPMorgan tidak pernah mengakui secara bertulis bahawa ia menutup akaun presiden itu selepas 6 Januari. Bank berkenaan sebelum ini hanya membincangkan secara meluas berhubung keadaan di mana ia akan menutup akaun serta sebab-sebab untuk berbuat demikian, sambil merujuk kepada undang-undang privasi perbankan.

Seorang jurucakap bank enggan mengulas lanjut selain daripada apa yang dinyatakan dalam dokumen undang-undang tersebut.

Encik Trump pada asalnya memfailkan saman terhadap JPMorgan di mahkamah wilayah Florida, lokasi kediaman utamanya. Pemfailan minggu ini adalah sebahagian daripada usaha JPMorgan Chase untuk memindahkan kes tersebut daripada mahkamah negeri ke mahkamah persekutuan serta menukar bidang kuasa kes ke New York, di mana akaun bank itu berada dan di mana Encik Trump menjalankan sebahagian besar daripada operasi perniagaannya sehingga baru-baru ini.

Encik Trump pada awalnya menuduh bank itu melakukan fitnah perdagangan dan melanggar amalan perdagangan tidak adil serta melakukan pemerdayaan di peringkat wilayah dan persekutuan.

Dalam saman asal, Encik Trump berkata beliau cuba membangkitkan isu itu secara peribadi dengan Dimon selepas bank berkenaan menghantar notis bahawa JPMorgan akan menutup akaunnya, dan bahawa Dimon memberinya jaminan untuk menyiasat perkara tersebut. Saman itu mendakwa Dimon gagal membuat aturan susulan dengan Encik Trump.

Selain itu, peguam Encik Trump mendakwa JPMorgan meletakkan presiden itu dan syarikat-syarikatnya dalam “senarai hitam” reputasi yang digunakan oleh JPMorgan dan bank lain untuk menghalang pelanggan daripada membuka akaun pada masa hadapan. Senarai hitam tersebut masih belum diperincikan oleh peguam presiden itu.

“Jika dan apabila plaintif menjelaskan maksud mereka berhubung ‘senarai hitam’ ini, JPMorgan akan memberi maklum balas sewajarnya,” kata peguam bank itu dalam satu pemfailan.

JPMorgan sebelum ini menyatakan bahawa walaupun ia kesal Encik Trump merasakan perlu untuk menyaman bank tersebut, saman berkenaan tidak berasas.

Isu “debanking” menjadi teras kes tersebut. "Debanking" berlaku apabila sesebuah bank menutup akaun pelanggan atau enggan menjalankan urusan perniagaan dengan pelanggan, termasuk dalam bentuk pinjaman atau perkhidmatan lain. Dahulunya dianggap sebagai isu yang kurang dikenali dalam sektor kewangan, "debanking" menjadi isu politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ahli politik konservatif berhujah bahawa bank mendiskriminasi mereka serta kepentingan yang berkaitan dengan mereka.

“Dalam satu pengakuan yang memusnahkan dan membuktikan keseluruhan tuntutan Presiden Trump, JPMorgan Chase mengakui ia secara tidak sah dan sengaja melakukan 'debanking' terhadap Presiden Trump, keluarganya dan perniagaannya, menyebabkan kerugian kewangan yang besar,” kata peguam presiden itu dalam satu kenyataan. “Presiden Trump bangkit mempertahankan semua pihak yang disekat perkhidmatan perbankan secara tidak adil oleh JPMorgan Chase dan sekutunya, dan akan memastikan kes ini diselesaikan secara adil dan wajar.”

"Debanking" mula menjadi isu nasional apabila golongan konservatif menuduh pentadbiran Encik Obama menekan bank supaya menghentikan perkhidmatan kepada kedai-kedai senjata api dan pemiutang gaji di bawah “Operation Choke Point”.

Encik Trump dan tokoh konservatif lain mendakwa bahawa bank memutuskan akses kepada akaun mereka di bawah istilah umum “risiko reputasi” selepas serangan 6 Januari 2021 ke atas Bangunan Capitol Amerika Syarikat. Sejak Encik Trump kembali memegang jawatan, pengawal selia perbankan pentadbirannya mengambil langkah untuk menghalang bank daripada menggunakan “risiko reputasi” sebagai alasan untuk menafikan perkhidmatan kepada pelanggan.

Ini bukan kali pertama Encik Trump memfailkan saman terhadap bank besar atas dakwaan beliau dikenakan tindakan "debanking". Trump Organization turut menyaman syarikat kad kredit Capital One pada Mac 2025 atas sebab dan dakwaan yang serupa. Kes tersebut masih belum selesai.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita