Skip to main content

Dunia

JPJ Terengganu kesan khidmat hantar penumpang guna kenderaan sewa oleh etnik Rohingya

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengesan kegiatan warga asing di Terengganu yang menggunakan kenderaan disewa untuk membawa penumpang dan mengangkut barangan.

Anggaran Waktu Membaca:
JPJ Terengganu kesan khidmat hantar penumpang guna kenderaan sewa oleh etnik Rohingya

(Gambar fail BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Jun 2026 05:25PM Dikemas Kini : 14 Jun 2026 05:26PM
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengesan kegiatan warga asing di Terengganu yang menggunakan kenderaan disewa untuk membawa penumpang dan mengangkut barangan.

Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata siasatan mendapati sebahagian besar individu yang ditahan melibatkan etnik Rohingya yang menawarkan perkhidmatan tersebut menggunakan kenderaan persendirian yang disewa daripada warga tempatan.

Beliau berkata aktiviti tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain memandangkan pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM).

"Pihak kami mengesan kegiatan warga asing terutama Rohingya yang menggunakan kenderaan persendirian yang disewakan oleh penduduk tempatan untuk membawa penumpang, mengangkut kanak-kanak dan membawa pelbagai barangan kerja dalam aktiviti seharian dalam kalangan mereka.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai LKM dan CDL. Kita ambil contoh kes lelaki Rohingya baru-baru ini yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Negeri Terengganu pada Ahad (14 Jun).

Encik Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu menyita 114 kenderaan dan mengeluarkan 559 saman atas pelbagai kesalahan hasil Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dijalankan sejak 1 Jun hingga Ahad.

Beliau berkata 93 kenderaan yang disita melibatkan pemandu etnik Rohingya yang tidak mempunyai sebarang kelayakan memandu atau dokumen pemilikan kenderaan yang sah.

"Kita mahu memberi mesej jelas bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut diambil kepada pemilik kenderaan yang didapati bersubahat menyewakan kenderaan," katanya.

Encik Mohd Zamri berkata pihaknya juga menjalankan aktiviti penyamaran dan masuk ke kampung-kampung bagi mengesan warga asing yang membawa kenderaan tanpa lesen dan dokumen yang sah.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita