Skip to main content

Dunia

JPJ tahan pemandu khidmat kereta sewa haram di KLIA2

Anggaran Waktu Membaca:
JPJ tahan pemandu khidmat kereta sewa haram di KLIA2

(Gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor)

SEPANG: Kegiatan 'ulat' yang menawarkan khidmat kereta sewa secara haram dengan bayaran RM150 (S$46) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke ibu negara dikesan pihak berkuasa menerusi serbuan pada Isnin (8 Ogos), lapor Sinar Harian. 

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Khairul Khar Yahya berkata, dua pemandu kenderaan jenis Perodua Axia dan Honda BRV sudah ditahan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu berusia 42 dan 50 tahun itu menawarkan khidmat kereta sewa tidak berlesen atau secara haram dengan mengenakan tambang kepada pelancong asing antara RM100 (S$31) hingga RM150 (S$46) dari KLIA2 ke Kuala Lumpur.

"JPJ sudahpun menyita dua kenderaan itu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Tindakan ini memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 (S$15.470) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit salah," ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa (9 Ogos). 

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan agar menggunakan khidmat pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi 'e-hailing'.

Katanya, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu serta pemilik kenderaan yang menawarkan khidmat kereta sewa tidak berlesen.

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik [at] jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya kepada Sinar Harian. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita