Skip to main content

Dunia

JPJ Malaysia tawar diskaun 50% untuk saman trafik hingga 30 Dis

Pengguna jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan diskaun sebanyak 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:
JPJ Malaysia tawar diskaun 50% untuk saman trafik hingga 30 Dis

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Aedy Fadly Ramli (kanan) memeriksa lori yang ditahan ketika Ops Khas JPJ di Jalan Klang – Banting, Telok Panglima Garang Kuala Langat. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 27 Oct 2025 09:04AM
SUNGAI PETANI: Pengguna jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan diskaun sebanyak 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata diskaun tersebut terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun. 

Beliau berkata orang ramai yang masih mempunyai saman tertunggak diminta mengambil peluang ditawarkan itu, dengan melakukan pembayaran di kaunter JPJ atau saluran pembayaran disediakan.

“Kita menggesa semua rakyat mengambil peluang yang diberi dalam tempoh dua bulan ini bagi menjelaskan saman masing-masing kerana kita akan memulakan diskaun 50 peratus mulai 1 November hingga 30 Disember 2025.

“Ia untuk semua jenis saman, bukan untuk saman AwAS (Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang kita gerakkan dari awal tahun lepas, tapi untuk semua jenis saman kecuali saman yang tidak boleh dikompaun iaitu yang perlu dibawa ke mahkamah.

“Orang ramai diharap dapat berbuat demikian kerana mulai 1 Januari 2026 tiada lagi diskaun dikeluarkan kepada umum termasuklah saman JPJ dan saman PDRM,” katanya pada Sidang Media Khas Op Gempur di Sungai Petani pada Ahad malam (26 Okt).

Sementara itu, Encik Aedy Fadly berkata JPJ melaksanakan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Oktober hingga 31 Disember bagi membanteras isu kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Beliau berkata setakat Isnin, 27,300 kenderaan sudah pun diperiksa dan daripada jumlah itu, 1,017 dikesan membawa barangan melebihi muatan.

“Sebanyak 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan disaman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (P22), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, manakala sebanyak 96 lori turut disita.

“Kebanyakan kenderaan ini kita sasarkan yang bawa muatan seperti batu, kerikil, besi dan sebagainya. Itu sasaran kita sebab kita ada ‘hotspot’ seperti kuari atau kilang besi, tempat kenderaan ini keluar,” kata beliau.

Encik Aedy Fadly berkata JPJ sentiasa komited untuk mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, infrastruktur awam terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan terus dipertingkatkan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita