JPJ kutip RM6.2 juta saman tertunggak dari 28 syarikat kenderaan barangan, pengendali bas ekspres
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Aedy Fadly Ramli ditemubual para wartawan pada Hari Keluarga JPJ 2025 di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 27 Julai 2025. (Gambar: BERNAMA)
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata selepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan tempoh dua minggu untuk syarikat terlibat tampil berbuat demikian, syarikat yang disenaraikan menghubungi JPJ untuk mencari jalan penyelesaian.
"Jadi di peringkat JPJ, kita bantu untuk keluarkan rekod terkini dan macam mana untuk diselesaikan dengan segera. Memang kita nampak semua syarikat ingin selesaikan tunggakan masing-masing," katanya yang turut berterima kasih kepada semua syarikat yang terlibat kerana memberikan kerjasama.
Beliau berkata demikian pada sidang media program Hari Keluarga JPJ (HKJPJ) 2025 di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Ahad (27 Jul).
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa lagi syarikat yang belum menyelesaikan saman kompaun dan JPJ memberi tempoh sebulan bermula 9 Julai lalu untuk mereka berbuat demikian.
"Sekiranya tidak dapat diselesaikan, pihak JPJ akan mengambil tindakan senarai hitam kenderaan di bawah syarikat berkenaan. Ada juga yang kita sudah mula senarai hitam kerana tiada respons diberikan kepada kami," katanya.
Beliau berkata berhubung tawaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata sebanyak RM150 (S$45) yang diberikan kepada semua kenderaan yang mempunyai saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), ia turut terpakai untuk syarikat pengendali barangan dan bas.
"Syarikat yang mempunyai saman itu juga layak mendapat tawaran sama dan pada 1 Julai lepas kita telah umum, tempoh tawaran itu juga sudah dilanjutkan hingga 31 Disember depan.
"Lanjutan tawaran itu bagi tiga kategori notis saman, iaitu saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bermula Oktober 2018 hingga kini, Notis 114 (notis temu siasat) dan Notis 115 (permintaan butir-butir pemandu) bermula 2023 dan ke bawah," katanya.
Pada 25 Jun lalu, Loke mendedahkan sebanyak 28 syarikat terdiri daripada 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas, dengan sebahagian besarnya kesalahan had laju.
Berikutan itu, beliau memberikan tempoh dua minggu untuk syarikat yang terlibat untuk melunaskan semua saman berkenaan atau berdepan tindakan disenarai hitam daripada beroperasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.