Jokowi usul 4 saranan bagi tamatkan krisis Gaza
Presiden Indonesia Joko Widodo (kiri) mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas (kanan) di Riyadh, Arab Saudi pada Sabtu (11 Nov). (Gambar: Agensi berita)
Bercakap semasa sidang puncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh pada Sabtu (11 Nov) mengenai pencerobohan Israel di Palestin, Presiden Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi menekankan betapa pentingnya gencatan senjata.
"Tanpa gencatan senjata, keadaan tidak akan reda. Israel menggunakan naratif 'mempertahankan diri' dan terus melakukan pembunuhan terhadap penduduk awam. Ini satu bentuk hukuman kolektif. Kita semua mesti mencari jalan agar Israel segera melaksanakan gencatan senjata," kata beliau.
Memandangkan situasi kemanusiaan semakin meruncing di Gaza, Presiden Jokowi menggesa mempercepatkan bantuan kemanusiaan dan mencadangkan agar OIC membentuk mekanisme bantuan yang lebih mudah dan mampan.
"Sebagai contoh, Hospital Indonesia di utara Gaza yang terus menjadi sasaran serangan Israel kini kehabisan bahan api sejak semalam. Indonesia meminta semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.
Beliau turut menggesa OIC supaya menggunakan apa jua cara untuk mempertanggungjawabkan Israel ke atas kezaliman yang dilakukan.
Sebagai contoh, beliau menyeru Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas mengenai Wilayah Palestin yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diberikan akses untuk melaksanakan mandatnya dan terus menyokong proses mendapatkan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Presiden Jokowi turut menekankan keperluan mendesak untuk meneruskan semula rundingan damai penyelesaian dua negara.
Sekiranya mekanisme sedia ada terbukti gagal membuahkan hasil, beliau menggalak OIC mengadakan proses rundingan baharu dan Indonesia bersedia untuk menyumbang.
Beliau juga menyeru OIC untuk bersatu dan memainkan peranan penting untuk menyelesaikan krisis di Palestin dan menghasilkan tindakan konkrit bagi menoktahkan segera kekejaman Israel di Gaza.
"OIC mesti bersatu, mesti berada di barisan hadapan dengan menggunakan semua cara, semua pengaruh dan semua usaha diplomatik untuk memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan untuk Palestin.
"Sebulan berlalu, dunia dilihat seakan tidak berdaya dalam menghadapi kezaliman itu.
Dengan lebih 7.9 bilion penduduk dunia, lebih 190 pemimpin dunia, namun tidak ada yang dapat menghentikan kekejaman itu," tambahnya.
Presiden Jokowi mahu para pemimpin OIC menyampaikan ketetapan sidang itu kepada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada pertemuan sempena Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di San Francisco.
Sempena sidang puncak tergempar itu, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Raja Jordan Raja Abdullah II bin Al-Hussein.
Dalam pertemuan dengan Encik Mahmoud Abbas, Presiden Jokowi mengulangi komitmen teguh Indonesia untuk terus menyokong Palestin, sambil mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel terhadap Palestin.
Presiden Jokowi berkata hakikatnya tiada sebarang alasan untuk mewajarkan pembunuhan beramai-ramai dan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.