Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jokowi lancar dana pandemik G20; gesa lebih banyak sumbangan dana

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata pada Ahad (13 Nov) di pelancaran tabung pandemik negara-negara anggota perkumpulan G20 bahawa jumlah yang sudah dikumpulkan sejauh ini untuk meningkatkan kesediaan bagi pandemik masa hadapan belum lagi mencukupi.

Anggaran Waktu Membaca:
Jokowi lancar dana pandemik G20; gesa lebih banyak sumbangan dana

Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) negara itu dalam mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menimbulkan kontroversi itu.(Gambar fail: Timothy De Souza/CNA)

Diterbitkan : 13 Nov 2022 04:43PM Dikemas Kini : 13 Nov 2022 05:16PM
NUSA DUA, Indonesia: Presiden Indonesia Joko Widodo berkata pada Ahad (13 Nov) di pelancaran tabung pandemik negara-negara anggota perkumpulan G20 bahawa jumlah yang sudah dikumpulkan sejauh ini untuk meningkatkan kesediaan bagi pandemik masa hadapan belum lagi mencukupi.

Tabung yang dilancarkan oleh Indonesia, selaku pengerusi G20, disasarkan kepada negara-negara berpendapatan rendah hingga sederhana untuk membiayai usaha seperti pengawasan, kajian serta akses lebih baik kepada vaksin, antara langkah lain.

"Saya menjangkakan lebih banyak sokongan," kata presiden itu dalam satu ucapan video di sebuah acara di Bali di mana bakal berlangsungnya Sidang Puncak G20 minggu ini.

Sebanyak AS$1.4 bilion (S$1.9 bilion) sudahpun dikumpulkan melalui tabung itu, termasuk sumbangan daripada Indonesia, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) serta daripada para penderma dan pertubuhan bersifat dermawan seperti Bill and Melinda Gates Foundation.

Tabung itu ditubuhkan di tengah-tengah kemarahan yang memuncak dalam kalangan banyak negara membangun berhubung pengalaman yang dilalui sepanjang pandemik COVID-19 sedangkan negara-negara mewah membolot sumber-sumber seperti vaksin bagi melawan virus tersebut.

Bank Dunia, yang bertindak selaku pemegang amanah tabung itu, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang berkhidmat selaku penasihat kemudahan itu, menganggarkan dalam satu laporan bahawa jurang pendanaan tahunan untuk kesediaan pandemik adalah AS$10.5 bilion (S$14.4 bilion).

Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati berkata dana tabung itu dijangka meningkat dengan sumbangan daripada Perancis dan Arab Saudi. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah dana yang akan disumbangkan oleh negara-negara itu.

Di samping itu, beliau menggesa saranan daripada negara-negara yang berhasrat untuk mendapatkan akses kepada tabung tersebut.
 
Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan