Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jokowi ke Makkah lakukan umrah menjelang Pilihan Raya Indonesia

Apabila Presiden Indonesia Joko Widodo dilantik lima tahun lalu, bekas jurujual perabot itu seperti menawarkan satu kelainan berbanding kelompok elit tentera dan politik yang berkuasa di Indonesia sejak pemimpin kuku besi Suharto dijatuhkan pada 1998.

Anggaran Waktu Membaca:
Jokowi ke Makkah lakukan umrah menjelang Pilihan Raya Indonesia

(Gambar: Willy Kurniawan/Reuters)

Diterbitkan : 15 Apr 2019 10:31AM Dikemas Kini : 15 Apr 2019 10:36AM

JAKARTA: Apabila Presiden Indonesia Joko Widodo dilantik lima tahun lalu, bekas jurujual perabot itu seperti menawarkan satu kelainan berbanding kelompok elit tentera dan politik yang berkuasa di Indonesia sejak pemimpin kuku besi Suharto dijatuhkan pada 1998.

Kini, Encik Joko Widodo, lebih dikenali dengan panggilan Jokowi, 57 tahun, bertanding untuk mempertahankan jawatan untuk penggal kedua dalam pilihan raya pada Rabu. Kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan beliau sedang mendahului pesaingnya, mantan jeneral Prabowo Subianto.

Semasa mendaki tangga kerjaya politik, Encik Jokowi, seorang Muslim sederhana dari Solo di Jawa Tengah, perlu menepis kempen-kempen menyerang keperibadiannya yang mendakwa beliau anti-Islam, seorang komunis atau berhutang dengan China.

Pada Ahad, beberapa hari menjelang hari mengundi, Encik Jokowi, melakukan umrah di Makkah, Arab Saudi. Ramai warga Indonesia menganggap lawatannya menunjukkan beliau seorang Muslim yang taat. Sebagai presiden, beliau berdepan dengan jangkaan tinggi bahawa beliau boleh berupaya menyelesaikan masalah yang sudah wujud sejak kian lama, daripada menangani pencabulan hak asasi manusia pada masa lalu hingga menghapuskan rasuah yang berleluasa.

Cik Niken Satyawati, seorang rakan keluarga menulis sebuah buku mengenai presiden Indonesia. Menurut beliau, Encik Jokowi berusaha untuk memperluas usaha membanteras rasuah sebagai Datuk Bandar Solo ke peringkat negara.

"Beliau seorang individu yang luar biasa. Beliau masih begitu," katanya, sambil menyifatkan bahawa kelemahannya adalah keinginan untuk memuaskan hati terlalu ramai orang. Encik Jokowi dibesarkan dalam keluarga sederhana. Ayahnya mempunyai perusahaan kayu yang kecil dan beliau membesar di sebuah rumah di tepi sungai di bandar Solo.

Beliau ialah anak pertama dalam keluarganya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan selepas meraih ijazah, beliau menubuhkan perniagaan perabot yang berjaya.

Encik Jokowi menjadi datuk bandar pertama yang dilantik secara langsung pada 2005 dan amat popular setelah beliau berjaya membersihkan jalan-jalan raya dan ruang awam dengan memberikan insentif dan meyakinkan ribuan penjual tidak berlesen untuk berpindah ke kemudahan baru.

Pendekatannya melalui cara perundingan itulah yang menjadi asas kempennya apabila beliau bertanding untuk jawatan gabenor Jakarta pada 2012.

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan