Skip to main content

Dunia

Jokowi jadi perhatian awam di tengah-tengah spekulasi penyakit kulit, kontroversi ijazah palsu

Di tengah-tengah spekulasi hangat sejak sebulan lalu mengenai tahap kesihatan Encik Joko Widodo, seorang pegawai kanan kepada mantan Presiden Indonesia itu terpaksa menafikan dakwaan yang tular bahawa beliau sudah meninggal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Jokowi jadi perhatian awam di tengah-tengah spekulasi penyakit kulit, kontroversi ijazah palsu

Perbandingan keadaan wajah Encik Joko Widodo pada Jun 2025. Mantan Presiden Indonesia itu dilaporkan mengalami alahan kulit. (Gambar: Democrazy.id)

JAKARTA: Di tengah-tengah spekulasi hangat sejak sebulan lalu mengenai tahap kesihatan Encik Joko Widodo, seorang pegawai kanan kepada mantan Presiden Indonesia itu terpaksa menafikan dakwaan yang tular bahawa beliau sudah meninggal dunia.

Kontroversi lama mengenai dakwaan ijazah palsu Encik Widodo juga timbul semula, selepas pihak polis pada 10 Julai menyatakan bahawa kes fitnah terhadap beliau kini sudah memasuki fasa siasatan penuh.

Menurut portal berita tempatan Detik, para penyiasat mendakwa mereka menemui “unsur-unsur jenayah yang mencukupi” dalam kes tersebut yang melibatkan lima individu - termasuk mantan Menteri Pemuda dan Sukan, Roy Suryo.

Encik Suryo pernah berkhidmat di bawah pentadbiran mantan presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ini merupakan perkembangan terkini dalam kontroversi mengenai ketulenan ijazah universiti Encik Widodo - isu yang pertama kali timbul pada 2022.

DARIPADA PENYAKIT KULIT KE DAKWAAN PALSU

Sejak meninggalkan jawatan Presiden hampir sembilan bulan lalu, Encik Widodo terus menjadi perhatian awam - kali ini berikutan kebimbangan terhadap tahap kesihatannya selepas beliau menyambut ulang tahun ke-64 pada Jun di kediaman peribadinya di Solo.

Rakaman video yang tersebar luas di media sosial menunjukkan mantan presiden itu mengalami bengkak yang ketara, perubahan warna kulit serta keradangan di wajah dan lehernya, sekali gus mencetuskan spekulasi online berhubung kemungkinan beliau menghidap penyakit yang serius.

Beberapa pengguna internet mendakwa Encik Widodo mungkin menghidap Sindrom Stevens-Johnson, satu reaksi kulit yang jarang berlaku tetapi boleh mengancam nyawa. Ada juga yang berpendapat bahawa beliau mungkin mengalami gangguan autoimun.

Bagaimanapun, ajutan (adjutant) peribadi Encik Widodo - Pesuruhjaya Polis Syarif Muhammad Fitriansyah - menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa gejala itu berpunca daripada alahan kulit ringan.

Menurut Encik Syarif, Encik Jokowi sedang pulih dengan baik di bawah pengawasan doktor.

Mantan Menteri Penyelaras Muhadjir Effendy kemudian berkata bahawa reaksi tersebut mungkin disebabkan oleh jenis sabun yang digunakan Encik Widodo semasa lawatannya ke Vatican pada April lalu bagi menghadiri persemadian Pope Francis.

Beliau menambah bahawa Encik Jokowi, yang diketahui mempunyai kulit sensitif, biasanya menggunakan jenama sabun tempatan tertentu yang dibawa oleh isterinya, namun ia tertinggal kali ini.

“Beliau memang selalu gunakan sabun yang sama. Biasanya Cik Iriana yang bawa dari rumah. Tapi kali ini, mereka terlupa,” kata Encik Muhadjir kepada media tempatan, merujuk kepada mantan wanita pertama, Iriana Widodo.

Pada 12 Julai, Encik Syarif sekali lagi menegaskan bahawa Encik Widodo berada dalam keadaan sihat, sambil berkata bahawa beliau sedang pulih dengan baik daripada alahan kulitnya.

Beliau turut menafikan dakwaan palsu yang tular bahawa presiden ketujuh Indonesia itu sudah meninggal dunia.

“Beliau aktif, sihat dan jelas sedang pulih,” kata Encik Syarif kepada Tempo.

Beliau menyatakan bahawa Encik Widodo baharu sahaja pulang daripada percutian dua minggu bersama cucu-cucunya.
Mantan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, kelihatan di kediamannya di Solo pada 12 Julai 2025 selepas pulang daripada percutian dua minggu bersama keluarga. (Gambar: Joglosemarnews)
Gambar-gambar yang dimuat naik ke akaun Instagram rasmi Encik Widodo menunjukkan beliau di pantai dan menunggang ATV, dengan keadaan kulit wajahnya kelihatan semakin baik.

Ahli epidemiologi berpangkalan di Australia, Dicky Budiman dari Universiti Griffith, menjelaskan bahawa reaksi kulit semasa perjalanan antarabangsa bukan perkara yang luar biasa.

“Ia dipanggil hipersensitiviti primer,” katanya kepada Suara.com.

“Malah individu yang tidak mempunyai sejarah alahan sebelum ini juga boleh mengalami kerengsaan kulit apabila terdedah kepada alergen asing di luar negara, termasuk bahan kimia dalam sabun hotel atau penyegar udara."

DI BAWAH PEMERHATIAN

Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa pihak polis sedang mempertingkatkan siasatan terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam dakwaan palsu mengenai ijazah Encik Widodo.

Sebelum ini, seorang aktivis Islam, Eggi Sudjana, memfailkan saman pada 9 Disember yang menuduh Encik Jokowi dan Rektor Universiti Gadjah Mada (UGM), Ova Emilia, melakukan pemalsuan ijazah.

Aduan itu membangkitkan semula cabaran lama yang pernah dikemukakan oleh penulis Bambang Tri Mulyono, yang ditolak oleh mahkamah sebelum ini.

Gesaan agar audit bebas dijalankan ke atas ijazah sarjana muda perhutanan Encik Widodo, yang dianugerahkan pada 1985, menyusul dengan segera selepas saman terbaharu itu.

Pihak universiti memberi maklum balas tegas, sambil mengulangi bahawa semua rekod akademik berada dalam keadaan teratur.

Dalam satu sidang media pada 15 April, Timbalan Rektor Wening Udasmoro berkata Encik Jokowi menamatkan pengajiannya sepenuhnya mengikut keperluan akademik universiti tersebut.

“Kami mempunyai dokumentasi lengkap - surat, transkrip gred, sijil tamat pengajian dan memo dalaman - yang mengesahkan pendaftarannya dan kelulusannya,” jelas beliau, seperti yang dipetik Antara.

Polis Negara Indonesia turut menyokong pendirian UGM. Selepas siasatan forensik, Djuhandani Rahardjo Puro daripada Agensi Siasatan Jenayah mengesahkan pada 22 Mei bahawa ijazah Encik Widodo adalah tulen, menurut laporan Kompas.

Siasatan itu melibatkan pengesahan kertas sijil, dakwat cetakan, tanda air dan cap rasmi, serta tandatangan pegawai universiti. Para penyiasat turut meneliti gambar arkib Encik Jokowi semasa bergelar penuntut dan menemu bual 39 saksi, termasuk pensyarah dan bekas rakan sekelasnya.
Ijazah milik mantan Presiden Indonesia, Encik Joko “Jokowi” Widodo, disahkan tulen oleh Universiti Gadjah Mada. (Gambar: X/SyaikhuMochtar)
Encik Jokowi dilaporkan menyedari tuduhan yang dibangkitkan semula mengenai ijazah universiti beliau pada 26 Mac, selepas melihat catatan-catatan yang disebarkan secara online.

Beliau kemudian membuat aduan rasmi kepada polis wilayah Jakarta pada 30 April, dengan menamakan lima individu sebagai suspek, termasuk mantan Menteri Pemuda dan Sukan, Roy Suryo.

“Ini bukan lagi perdebatan tentang pendidikan. Ini serangan terhadap keperibadian saya,” kata Encik Widodo dalam wawancara bersama Kompas pada 5 Mei.

“Mereka telah mencemarkan nama saya,” kata beliau ketika itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita