Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jokowi bakal temui Putin & Zelenskyy bulan ini

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan Presiden Rusia Vladimir Putin dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada perang yang masih berlanjutan antara kedua-dua negara itu.

Sehubungan itu, Jokowi akan mengadakan kunjungan ke kedua-dua negara berkenaan, lapor portal berita CNN Indonesia.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar Indonesia Retno Lestari Priansari Marsudi dalam sidang media secara dalam talian dengan para wartawan tempatan pada Rabu (22 Jun). 

Menurut Cik Retno, kunjungan Jokowi ke Rusia dan Ukraine memperlihatkan keprihatinan Presiden Indonesia terhadap isu kemanusiaan selain cuba menghulurkan jalan penyelesaian kepada krisis makanan yang tercetus akibat perang antara kedua-dua negara itu.

"Kesan perang itu turut dirasakan oleh semua negara terutama negara berkembang dan berpendapatan rendah sekali gus mendorong semangat perdamaian,” kata Cik Retno seperti dipetik Astro AWANI. 

Beliau turut memaklumkan, Jokowi akan menjadi pemimpin pertama dari negara Asia yang akan melawat Ukraine dan Rusia di tengah-tengah konflik.

Portal berita itu juga melaporkan, khabar mengenai pertemuan antara Jokowi dan Putin sudah kedengaran sejak kebelakangan ini.

Sejak perang tercetus antara kedua-dua negara itu, kedudukan Indonesia menjadi sorotan selepas negara itu menjadi tuan rumah Persidangan Negara-Negara Kumpulan 20 (G20) yang turut dianggotai oleh Rusia.

Sidang Puncak G20 dijangka berlangsung di Bali, Indonesia pada hujung tahun ini.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan