Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jokowi arah agensi nasional supaya beli sistem-sistem amaran awal

Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) supaya membeli sistem-sistem amaran awal menyusuli ombak tsunami yang membadai negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jokowi arah agensi nasional supaya beli sistem-sistem amaran awal

Presiden Indonesia Joko Widodo di salah sebuah kawasan yang dilanda ombak tsunami. (Gambar; BPMI)

Diterbitkan : 24 Dec 2018 10:44PM Dikemas Kini : 24 Dec 2018 10:52PM

PANDEGLANG: Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) supaya membeli sistem-sistem amaran awal menyusuli ombak tsunami yang membadai negara itu.

Setakat Isnin malam (24 Dis), sekurang-kurangnya 373 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 1,400 lagi cedera akibat bencana alam tersebut.

"Saya sudah mengarahkan BMKG supaya membeli perkakas pengesanan awal serta sistem-sistem amaran awal yang berupaya memberi amaran tepat kepada orang awam. Ini supaya mereka boleh mengambil tindakan dengan pantas (sekiranya berlaku bencana alam)," kata Presiden Jokowi kepada para wartawan semasa berada di Pandeglang, Banten - iaitu salah sebuah daerah yang terjejas teruk akibat tsunami - pada Isnin (24 Dis).

Pada awal hari ini (24 Dis), seorang pegawai Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) menyatakan bahawa sistem amaran pelampung tsunami tidak berfungsi sejak 2012. Ini bermakna tiada sebarang amaran dikeluarkan kepada para penduduk di kawasan-kawasan yang dibadai ombak tsunami.

Dalam video yang dikeluarkan oleh sekretariat media Presiden Indonesia, Presiden Jokowi dilihat berjalan-jalan sambil meninjau-ninjau kesan tsunami serta bercakap dengan para penduduk dan penyelamat.

Pihak tentera dan polis akan terus berusaha untuk mencari para mangsa, tegas Presiden Jokowi.

"Hari ini, kami akan sekali lagi memeriksa (pelbagai kawasan), dari kawasan laut serta di kawasan-kawasan yang mungkin belum lagi diperiksa sebelum ini," katanya.

"BNPB akan membantu para mangsa manakala (keluarga) mangsa yang terkorban akan menerima bantuan serta pampasan daripada kementerian sosial."

Apabila ditanya mengenai punca tsunami, Presiden Jokowi berkata siasatan sedang dijalankan.

"Kami tahu bahawa ia bukan berpunca akibat gempa bumi, tetapi punca sebenar belum lagi dikenal pasti. Oleh itu, janganlah membuat kesimpulan dengan tergesa-gesa."

Presiden Jokowi juga memuji pihak tentera dan polis kerana pantas memberi respons menyusuli bencana tersebut.

"Saya melihat sendiri operasi menyelamat dijalankan dengan pantas oleh TNI (tentera) dan Polri (polis), dengan bantuan pentadbiran tempatan... Saya amat menghargai respons pantas mereka."

Ketika menjawab pertanyaan para wartawan, Presiden Jokowi menambah bahawa beliau sudah mengarahkan agar pendidikan mengenai bencana alam dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran.

Mengenai sama ada peruntukan belanjawan bagi pencegahan bencana akan dinaikkan pula, beliau berkata: "Yang penting adalah belanjawan itu disasarkan dengan betul dan digunakan dengan baik."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan