Jokowi, anak dan menantu dipecat PDI-P
Surat pemecatan Jokowi (kanan), bersama anak dan menantunya itu ditandatangani oleh Ketua Umum PDIP, Megawati Soekarnoputri. (Gambar: Bernama)
Pemecatan Jokowi diumumkan oleh Ketua DPP Bidang Kehormatan PDI-P Komarudin Watubun pada Isnin (16 Dis).
Menurut Encik Komarudin, pemecatan Encik Jokowi diumumkan dalam surat bertarikh 14 Disember 2024 dan ditandatangani oleh Ketua Umum PDI-P Megawati Soekarnoputri dan Sekretaris Jeneral (Sekjen) PDI-P Hasto Kristiyanto.
Memetik portal berita Detik.com, Encik Komarudin berkata bahawa beliau telah menerima arahan langsung daripada Ketua Umum PDI-P untuk mengumumkan perkara tersebut.
"DPP Partai akan mengumumkan surat keputusan pemecatan terhadap Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka dan Bobby Nasution serta 27 anggota lain.
"Keputusan itu melarang mereka untuk tidak melakukan kegiatan dan menduduki sebarang jawatan atas nama PDI-P," ujarnya.
Awal sebelum itu, Encik Jokowi yang ditemui media memberi respons berkaitan kemungkinan pemecatan dirinya dan keluarganya oleh PDI-P.
Apabila dilontarkan dengan pertanyaan tentang dirinya yang bakal tidak menganggotai sebarang partai politik, Encik Jokowi secara ringkas menyebut soal 'parti perorangan'.
CNN Indonesia antara lain menafsirkan bahawa hal yang dimaksudkan Encik Jokowi ialah tentang hasrat peribadinya untuk terus berkecimpung dalam politik meskipun tidak mewakili mana-mana partai.
Pada Rabu lalu (4 Dis) Hasto Kristiyanto yang ditemui para wartawan di Jakarta Selatan pernah memberi kenyataan mengenai soal status keanggotaan Encik Jokowi. Beliau menegaskan bahawa Encik Jokowi sudah bukan lagi sebahagian daripada PDI-P.
"Jokowi dan keluarga sudah tidak lagi sejalan dengan cita-cita partai. PDI-P melihat Jokowi dan keluarganya memiliki cita-cita kekuasaan yang tiada henti. Selain itu, amalan politik yang dijalankan Jokowi dan keluarganya harus menjadi pengajaran berharga kepada semua pihak untuk menjalankan disiplin partai," kata beliau seperti dipetik oleh Kompas.com.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.