Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor usul sistem imigresen 'pelepasan tunggal' bagi tangani kesesakan di Koswe

Dalam usaha mengurangkan kesesakan di Koswe, kerajaan Johor mengusulkan sebuah "sistem pelepasan tunggal" bagi meredakan keadaan lalu lintas di pusat pemeriksaan darat.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor usul sistem imigresen 'pelepasan tunggal' bagi tangani kesesakan di Koswe

Pemandangan koswe yang menghubungkan Singapura dengan negeri Johor, Malaysia. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

JOHOR BAHRU: Dalam usaha mengurangkan kesesakan di Koswe, kerajaan Johor mengusulkan sebuah "sistem pelepasan tunggal" bagi meredakan keadaan lalu lintas di pusat pemeriksaan darat.

Di bawah sistem yang diusulkan, pelepasan imigresen akan hanya dilaksanakan sekali sahaja iaitu sama ada di sempadan Singapura atau Johor. Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh kepada The Star pada Jumaat (3 Feb).

"Ini bermakna pegawai imigresen Singapura akan ditempatkan di pusat-pusat pemeriksaan kami di Johor untuk memeriksa mereka yang memasuki Singapura, sementara kakitangan imigresen Malaysia akan dikerahkan di Singapura untuk memeriksa mereka yang mahu memasuki Malaysia," kata anggota jawatankuasa eksekutif negara itu seperti dinukil 

Menurutnya lagi: "Usulan ini masih lagi di peringkat awal. Ia serupa dengan sistem yang akan digunakan apabila operasi Laluan Sistem Transit Laju (RTS) bermula pada 2026."

Laluan RTS bertujuan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura, yang akan dimanfaatkan sekitar 10,000 penumpang setiap dua hala bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Koswe.

Mediacorp sudah  menghubungi Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura unutk mengulas  cadangan yang diketengahkan Encik Fazli.

Menurut beliau, Johor juga sedang cuba mendapatkan pembiayaan tambahan untuk menambah lorong motosikal daripada 50 kepada 75 pada setiap haluan di Koswe.

Encik Fazli, memimpin sebuah pasukan bertindak berbilang agensi  yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Koswe dan Linkedua di Tuas, dilaporkan memberitahu The Star bahawa terdapat saranan bagi laluan lori digunakan sebagai laluan pejalan kaki pada hujung minggu.

The Star melaporkan bahawa Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sebelum ini menggesa supaya sesuatu dilakukan mengenai keadaan di Koswe, sambil berkata sekitar 150,000 pemandu terjejas oleh kesesakan lalu lintas.

Beliau menambah bahawa sebahagian besar mereka yang memasuki Singapura perlu bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk beratur di pusat pemeriksaan sempadan Johor Bahru sebelum pukul 5.00 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk pergi bekerja dan terpaksa pulang lewat malam.

Pada Disember lalu, Encik Onn Hafiz mengumumkan beberapa langkah yang bertujuan mengurangkan kesesakan di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru semasa membemtangkan  belanjawan Johor 2023.

Antara langkah-langkah yang dibentangkan termasuk menyusun  semula laluan masuk dan keluar Johor bagi motosikal dan kereta.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan