Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor usaha beralih ke fasa endemik; tingkatkan kadar vaksinasi

Kerajaan Johor sedang berusaha untuk beralih ke fasa endemik dengan meningkatkan kadar vaksinasi penduduk negeri itu, termasuk dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, kata Menteri Besar Hasni Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang berusaha untuk beralih ke fasa endemik dengan meningkatkan kadar vaksinasi penduduk negeri itu, termasuk dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, kata Menteri Besar Hasni Mohamad.

Menurut beliau, langkah itu merupakan syor utama dalam memastikan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dapat ditingkatkan dan seterusnya membuka sempadan antara Johor dengan Singapura kelak.

“Saya yakin apabila sempadan Johor dan Singapura dapat dibuka, itu adalah satu penyumbang besar kepada kerancakan semula ekonomi negeri.

“Walaupun keputusan itu melibatkan dua negara, tetapi oleh kerana (pembukaan) sempadan ada kesan kepada negeri Johor, kerajaan negeri kerap dilibatkan untuk membuat perancangan membuka semula sempadan. Ia adalah sesuatu yang kerajaan negeri kemukakan sebagai satu syor utama untuk gerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Senai di Johor Bahru pada Isnin (28 Feb).

Beliau berkata kerajaan negeri menyumbang RM6 juta (S$1.9 juta) kepada sahabat usahawan AIM Johor bagi membantu mereka merancakkan perniagaan.

Sementara itu, merujuk kepada pengundian secara pos bagi pengundi Johor yang menetap di Singapura, Encik Hasni berkata kaedah tersebut merupakan pilihan terbaik memandangkan terdapat kekangan untuk mereka pulang ke tanah air akibat COVID-19 semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Beliau yakin pengundian secara pos adalah peluang yang adil untuk semua pengundi berdaftar di negeri itu menunaikan hak demokratik mereka.

Beliau menambah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dalam proses menghantar kertas undi ke Singapura pada Isnin, selepas senarai nama calon yang bertanding dimuktamadkan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan