Skip to main content

Dunia

Johor tuntut 30% hasil cukai dari Putrajaya

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menegaskan, sekurang-kurangnya, 30 peratus dari hasil cukai negeri yang disalurkan ke Kerajaan Persekutuan patut dipulangkan semula ke negeri Johor, menurut laporan Astro AWANI. 

Menurut kenyataan ringkas beliau di Facebook pada Selasa (11 Jun), permohonan berkenaan adalah untuk memastikan Bangsa Johor dapat menikmati pembangunan negeri yang lebih baik.

Permohonan ini dibuat semasa sesi terima menghadap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron; Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Shahrol Anuwar Sarman, lapor Astro AWANI. 

Antara perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai cadangan membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di daerah Kulai dan Johor Bahru.

Ahad lalu (9 Jun), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dilaporkan mencadangkan Johor mewujudkan Gabungan Bangsa Johor supaya sentimen politik dan kepentingan negeri ini diputuskan oleh rakyat Johor dan bukan orang luar, seperti ditukil laporan Astro AWANI.

Beliau turut berkata, Gabungan Bangsa Johor itu boleh memperbaiki sistem dalam negeri itu demi kepentingan kehidupan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.

"Kita perlu lihat kepentingan sesuatu agenda itu apa yang memberi manfaat kepada negeri kita. Sampai bila Johor nak jadi pengemis.

"Biar Johor jaga kepentingan negeri kita sebab di Putrajaya, mereka tidak faham sentimen keperluan kita, saya nak tengok yang bangunkan negeri ini anak-anak Johor, bukan orang lain.

"Kalau kita ada Gabungan Bangsa Johor macam parti politik di Sarawak, jika Sarawak boleh buat, kita pun boleh buat. Itu saya harap akan berubah dari segi cara pemikiran dengan ada gabungan ini.

"Jika tidak ubah cara pemikiran kita, saya fikir sampai bila-bila Johor akan jadi pengemis, sampai bila-bila Johor kena minta permohonan, itu pun tengok juga kalau kita ini jadi keutamaan atau tidak," titah baginda ketika sesi podcast secara langsung dalam "Program Johor Youth Meet-up" di Kompleks Sukan Educity, Johor Bahru.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita