Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor tubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana

Anggaran Waktu Membaca:
Johor tubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada 27 Mac 2023. (Gambar: BERNAMA)

ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin (27 Mac) sebulat suara meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor yang akan dibarisi 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor daripada pelbagai parti di negeri itu.

Cadangan penubuhan jawatankuasa itu dibahaskan selama lima hari bermula 19 Mac lepas dengan membabitkan kesemua 56 ADUN.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Speaker DUN Johor Samsolbari Jamali pada hari terakhir persidangan kali ini di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri. 

Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan penggulungan, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata isu perubahan iklim adalah suatu perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian yang serius kerana ia turut memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan Johor.

"Jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh ADUN Pemanis Anuar Abd Manap ini akan berfungsi meneliti undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan perubahan iklim dan pengurusan bencana banjir," katanya.

Encik Onn Hafiz yang juga ADUN Machap berkata jawatankuasa itu juga berperanan mengkaji inisiatif yang diambil dalam menangani perubahan iklim dan keberkesanan proses serta langkah mitigasi banjir di peringkat daerah dan negeri secara holistik.

Beliau berkata jawatankuasa itu turut akan mengkaji alternatif lain dalam menangani isu banjir kilat, banjir termenung dan banjir yang kerap berulang di satu-satu kawasan sekiranya berlaku hujan lebat yang berpanjangan.

"Malah jawatankuasa ini mengkaji penyelesaian yang boleh diambil bagi mengurangkan kerosakan harta benda dan prasarana akibat banjir merangkumi cadangan penempatan semula penduduk.

"Selain itu, jawatankuasa ini juga akan mencadangkan penambahbaikan yang boleh diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan dalam menangani kesanperubahan iklim dan banjir," katanya.

Menurut Encik Onn Hafiz, pembentukan jawatankuasa melibatkan tujuh ADUN kerajaan dan enam ADUN pengimbang itu sebagai menyahut peringatan Sultan Johor Sultan Ibrahim  Sultan Iskandar, supaya bangsa Johor membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan