Skip to main content

Dunia

Johor tingkat operasi cegah buang sampah sembarangan tanpa kira kerakyatan pesalah

Anggaran Waktu Membaca:
Johor tingkat operasi cegah buang sampah sembarangan tanpa kira kerakyatan pesalah
(Gambar: SWCorp Johor)
Diterbitkan : 11 Jan 2026 06:42PM Dikemas Kini : 11 Jan 2026 07:20PM
JOHOR BAHRU: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor melaksanakan operasi secara rambang dan menyeluruh tanpa mengira status kewarganegaraan, susulan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].

Pengarah SWCorp Johor Zainal Fitri Ahmad berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan membuang sampah di tempat awam.  

Beliau berkata prosedur penguatkuasaan terhadap warganegara dan bukan warganegara adalah sama, namun terdapat cabaran dalam mengendalikan kes warga asing seperti urusan serahan saman serta memastikan kehadiran orang kena saman (OKS) ke mahkamah, bagi tujuan pendakwaan.

"Justeru, kita sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memastikan kedaulatan undang-undang kebersihan negara sentiasa dihormati semua pihak. 

"Selain itu, kita turut memperkasakan langkah pencegahan melalui strategi hebahan agresif dan penguatkuasaan pendidikan berterusan termasuk kempen kesedaran berimpak tinggi, kolaborasi strategik bersama dengan PBT dan komuniti, serta pendidikan penguatkuasaan di lapangan,"katanya kepada Bernama pada Ahad (11 Jan).

Pada 5 Jan lepas, lima individu termasuk tiga warga Singapura dikenakan notis kompaun di Johor Bahru kerana membuang sampah di tempat awam. 
 
Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 berkuat kuasa pada 1 Jan tahun ini sebagai hukuman bagi menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam dan hukuman itu dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672, yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama. 

Encik Zainal Fitri berkata perbadanan itu antara lain menilai keberkesanan operasi melalui peningkatan kadar tangkapan serta-merta di lapangan. 

"Pendekatan secara penyamaran merupakan mekanisme paling berkesan untuk menangkap pesalah yang cenderung membuang sampah kecil secara terang-terangan di tempat awam. 

"Keberkesanan ini diukur apabila 'elemen kejutan' kehadiran penguat kuasa berpakaian preman yang membolehkan tindakan segera diambil, sekali gus mengubah sikap masyarakat untuk tidak memandang remeh akan perbuatan tersebut," katanya. 

Beliau berkata sasaran utama SWCorp bagi mengurangkan jumlah kes pembuangan sampah haram dalam tempoh tiga tahun ini adalah memastikan tempat awam bebas sampah, terutama sampah kecil yang boleh menjejaskan imej negara, selain masyarakat mengamalkan budaya kebersihan sebagai tanggungjawab secara konsisten. 

"Segala usaha ini mendukung aspirasi Bandar Bersih Johor 2030 ke arah Malaysia yang Bersih, Indah dan Sejahtera," katanya. 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita