Skip to main content

Dunia

Johor timbang sektor awam kerja empat hari setengah seminggu

Anggaran Waktu Membaca:
Johor timbang sektor awam kerja empat hari setengah seminggu

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Nov 2024 04:30PM Dikemas Kini : 21 Nov 2024 04:31PM
ISKANDAR PUTERI: Johor sedang menimbangkan cadangan berhubung perubahan waktu kerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah seminggu, lapor Sinar Harian pada Khamis (21 Nov).

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata cadangan itu susulan pelaksanaan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun depan.

"Sekiranya usaha-usaha penambahbaikan itu berjalan lancar, Insya-Allah, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.

"Bagaimanapun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis (21 Nov).

Menurut Encik Onn Hafiz, kerajaan negeri sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, ia termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara online.

"Kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat antara pukul 1.00 tengah hari sehingga 2.00 petang.

"Penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilaksanakan," jelasnya.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan melaksanakan waktu bekerja dalam seminggu yang paling singkat di dunia iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Di bawah langkah itu, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis bermula pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang manakala bagi hari Jumaat, waktu bekerja bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.
Sumber : Agensi berita/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita