Skip to main content

Dunia

Johor tangani kemiskinan dek COVID-19 sementara tunggu Seberang Tambak dibuka semula

Kerajaan negeri Johor menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada usahanya menangani isu kemiskinan dan mobiliti sosial akibat pandemik COVID-19 sementara menunggu pembukaan semula perjalanan rentas sempadan dengan Singapura, kata Menteri Besar Hasni Mohammad. 

Anggaran Waktu Membaca:
Johor tangani kemiskinan dek COVID-19 sementara tunggu Seberang Tambak dibuka semula

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berucap di sesi maya anjuran Kolej Perkhidmatan Awam Singapura. (Gambar: Pejabat Menteri Besar Johor)

Diterbitkan : 09 Nov 2021 11:03PM Dikemas Kini : 09 Nov 2021 11:06PM

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada usahanya menangani isu kemiskinan dan mobiliti sosial akibat pandemik COVID-19 sementara menunggu pembukaan semula perjalanan rentas sempadan dengan Singapura, kata Menteri Besar Hasni Mohammad. 

Encik Hasni berkata meskipun Laluan Perjalanan Penumpang Divaksin (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah permulaan yang cemerlang untuk memulakan pembukaan semula tambak dan Link Kedua bagi tujuan rentas sempadan, pandemik itu sudah menyebabkan banyak keluarga jatuh sehingga ke bawah paras kemiskinan atau mengalami kemerosotan pendapatan.

“Banyak isi rumah yang mudah terjejas terhadap kejutan ekonomi pasca pandemik walaupun pembukaan semula sektor ekonomi dan pergerakan yang melibatkan orang ramai telah dilaksanakan dengan berhati-hati,” katanya dalam ucaptama semasa Program Pemimpin dalam Pentadbiran (LAP) ke-13 yang dianjurkan secara maya oleh Institut Kepimpinan Sektor Awam, Kolej Perkhidmatan Awam Singapura di Johor Bahru, hari ini (9 Nov).

Encik Hasni berkata penutupan sempadan Johor dan Singapura memberi kesan kepada perniagaan dan sumber pendapatan rakyat Malaysia serta Singapura.

“Penutupan rentas sempadan yang paling sibuk di dunia menjejaskan ekonomi dan mendatangkan keburukan sosial kepada semua yang terlibat.

“Keluarga terpaksa berpisah dengan orang yang tersayang dan ekonomi terpaksa berada dalam keadaan lembap tanpa adanya kepastian,” katanya.

Encik Hasni berkata jalan yang begitu sibuk di pusat bandar Johor Bahru suatu masa dahulu kini menjadi lokasi yang sunyi tanpa aktiviti komersil atau hanya mempunyai aktiviti komersil yang minimum.

“Peniaga kecil merasa tersepit, pekerja dalam sektor peruncitan dan hospitaliti diberhentikan kerja, kadang-kadang diberikan pampasan yang minimum.

“Inilah realiti kehidupan daripada kelembapan ekonomi disebabkan penutupan sempadan,” ungkapnya.

Encik Hasni menegaskan pandemik COVID-19 akan meninggalkan kesan yang kekal terhadap struktur sosio-ekonomi negara.

“Malaysia dan Johor turut tidak terkecuali. Bagaimanapun, saya yakin, seperti krisis-krisis yang lain, kita mampu untuk segera pulih dan mengubah cabaran sedia ada dalam bentuk peluang yang bernilai,” katanya.

Mengenai masa depan pasca pandemik, beliau yakin Johor akan memperkukuh hubungan pelbagai aspeknya dengan Singapura melibatkan pelbagai sektor.

“Langkah ke hadapan untuk pemulihan pasca pandemik yang mampan adalah kerjasama lebih baik dan lebih kukuh dengan pelbagai badan, sama ada kerajaan, separa kerajaan atau sektor swasta yang berpangkalan di Singapura,” kata Encik Hasni.

PEJABAT JETCO JADI PUSAT SEHENTI PERTUKARAN, DIALOG

Ini terbukti melalui penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura yang akan beroperasi menjelang suku kedua tahun depan atau lebih awal daripada itu.

“Saya menjangka JETCO akan menjadi pusat sehenti untuk pertukaran dan dialog yang membina dalam hal-hal ekonomi, pelancongan dan kebudayaan antara Johor dengan Singapura.

“Apabila sempadan kita dibuka semula, dan saya yakin ia tidak lama lagi, saya berhasrat melawat JETCO dan mungkin merasmikannya terlebih dahulu berbanding banyak lagi keterlibatan dengan rakan strategik Johor di Singapura.

“Secara jujur saya berpendapat peluang terbesar yang dibawakan oleh pandemik COVID-19 ini adalah menggunakan hubungan dinamik Johor dan Singapura dengan lebih baik,” ujarnya. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita