Skip to main content

Dunia

Johor, SG setuju teliti pelbagai kaedah tingkat kesalinghubungan, kata Menteri Besar Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Johor, SG setuju teliti pelbagai kaedah tingkat kesalinghubungan, kata Menteri Besar Johor

Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan (kiri) dan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi (kanan). (Gambar: Onn Hafiz Ghazi/Facebook)

SINGAPURA: Johor dan Singapura bersetuju untuk meneliti pelbagai kaedah yang boleh diterokai bersama dalam meningkatkan kesalinghubungan berikutan hampir 300,000 orang menggunakan Koswe setiap hari, kata Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.

Encik Onn Hafiz ketika ini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula Ahad (12 Feb) yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik di antara negara itu dengan negeri Johor.
Menerusi satu catatan di laman Facebook rasminya pada Isnin (13 Feb), Menteri Besar itu berkata beliau sudah memulakan hari keduanya dengan mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kedua Singapura, Dr Maliki Osman.

"Pelbagai perkara yang telah dibincangkan dalam kesempatan yang ada, khususnya isu melibatkan hubungan dua hala antara Singapura dan Johor," tulis beliau.

Sebagai jiran kepada Malaysia, beliau berkata Singapura memainkan peranan yang cukup signifikan dalam perkembangan ekonomi Johor.

Beliau turut melahirkan rasa terharu mendengar perkongsian kedua-dua menteri Singapura itu tentang bagaimana hubungan akrab antara kedua-dua negara yang kekal utuh, biarpun dalam tempoh mencabar seperti ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, sehinggalah apabila sempadan kedua-dua negara ini dibuka semula sepenuhnya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohammed Ridha Abd Kadir; dan Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh.

Sebelum ini, Encik Onn Hafiz berkata negeri Johor berpotensi menerima pelaburan bernilai di antara RM10 bilion (S$3 bilion) hingga RM15 bilion (S$5 bilion) daripada beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura.

Beliau berkata ini berikutan pertemuannya dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa antaranya AirTrunk, sebuah syarikat pusat data berskala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun serta syarikat Wilhelmsen, satu daripada kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita