Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor sedia buka lebih banyak kaunter imigresen sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu

Anggaran Waktu Membaca:
KULAI: Kerajaan Johor bersedia mengaktifkan laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi menangani kesesakan berikutan cuti sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pertambahan kaunter juga akan dibuat bagi mengurangkan kesesakan di kedua-dua CIQ BSI di Johor Bahru dan KSAB di Iskandar Puteri.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak berkuasa tempatan juga akan mengawal kesesakan dan melakukan melakukan operasi penguatkuasaan. 

“Laluan kontra ini akan diaktifkan ketika waktu puncak iaitu apabila ada banyak kenderaan dari Singapura masuk ke Malaysia, dan jumlah kenderaan yang keluar dari Malaysia pula adalah sedikit.

“Jadi, laluan keluar itu boleh digunakan sebagai laluan kontra, ini bagi membolehkan kita menampung kemasukan kenderaan yang banyak dari Singapura,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Selekoh ‘S’ di laluan FT001 Johor Bahru ke Air Hitam di Johor Bahru hari ini (21 Dis).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kaedah bagi mengelak kesesakan di CIQ BSI dan KSAB ketika musim cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Menurut Jabatan Imigresen Johor, terdapat 236 kaunter masuk dan keluar imigresen di CIQ BSI yang terdiri daripada kaunter motosikal (100), kereta (60), bas (36) dan pagar automatik (40).

Di KSAB pula, terdapat 162 kaunter masuk dan keluar melibatkan 50 kaunter motosikal, kereta (48), bas (52) dan pagar automatik (12).

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, para pelawat dari republik itu dijangkakan perlu menempuhi kesesakan hampir tiga jam di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan