Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor sasar pertumbuhan ekonomi 7% setahun jelang 2030

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Johor menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setahun bagi memastikan usahanya untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion (S$81.8 bilion) menjelang 2030 tercapai.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata meskipun matlamat itu dilihat tinggi, namun beliau yakin ia tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak komited dan beriltizam untuk merealisasikannya.

Beliau berkata negeri itu juga perlu kembali meneguhkan semua sektor ekonominya yang menyumbang kepada KDNK dan terus berkembang dengan pesat.

"Ini penting bagi memastikan Johor berjaya mencapai nilai KDNK RM260 bilion (S$81.8 bilion) menjelang 2030 iaitu lebih dua kali ganda saiz ekonomi Johor sekarang ini.

Nilai tersebut memerlukan ekonomi Johor tumbuh sekitar tujuh peratus setahun,” kata beliau ketika berucap di Majlis Amanat Menteri Besar Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), di Johor Bahru hari ini (14 Jun). 

Seramai lebih 1,600 penjawat awam negeri dan persekutuan menghadiri majlis amanat itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, Dr Azmi Rohani, Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Encik Onn Hafiz berkata ekonomi yang berkembang akan menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, sekali gus memberi ruang dan peluang untuk membantu rakyat dengan lebih baik dan berkesan.

"Kita harus memastikan kek ekonomi kita diperbesarkan agar semua rakyat berpeluang menerima agihan kek ekonomi yang lebih baik,” kata beliau.

Beliau berkata usaha bagi menarik pelaburan yang berkualiti juga perlu dipertingkatkan dan bersifat terbuka dalam menerima pelaburan luar antaranya dengan memudahkan urusan menjalankan perniagaan untuk semua pelaburan.

“Dasar ekonomi yang akomodatif dan dana pelaburan yang berkualiti perlu disuntik segera, terutamanya dalam menghadapi era ekonomi yang pantas berubah.

“Namun begitu, kita semua sedia maklum bahawa dana kerajaan yang disuntik kepada pembangunan ekonomi menerusi perbelanjaan pembangunan negeri dan persekutuan adalah terhad". 

"Justeru, kita perlu mempertingkatkan usaha bagi menarik pelaburan yang berkualiti, yang dapat memberi nilai tambah terbaik, seterusnya menjana pekerjaan yang bergaji tinggi kepada rakyat,” kata beliau. 

Beliau menambah kerajaan negeri juga akan menyediakan insentif perniagaan bagi pelaburan dalam sektor terpilih sekali gus memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Johor serta mengambil kira kepentingan dan hubungan dinamik ekonomi serantau termasuk Singapura yang juga merupakan antara pelabur utama di Johor.

Sementara itu, Encik Onn Hafiz dalam amanatnya memaklumkan bahawa kerajaan negeri sudah mengenal pasti 3,000 ekar tanah untuk diusahakan dengan tanaman yang bernilai tinggi untuk tujuan eksport antarabangsa dan juga domestik.

Beliau pada masa yang sama berharap agar Johor dapat menguasai setiap aktiviti dalam rantaian nilai ekonomi makanan agar hasrat “From farm, to fork” akan menjadi kenyataan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan