Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor sasar lima juta pelancong asing tahun depan

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Sektor pelancongan Johor dijangka terus berkembang dengan sasaran lima juta pelancong asing berkunjung ke negeri itu tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan rekod kemasukan pelancong asing di Johor sejak Januari hingga kini yang mencecah 2.8 juta berbanding sasaran asal 1.5 juta.

Katanya antara destinasi yang menjadi tumpuan pelancong asing adalah Desaru, Kota Tinggi dan Iskandar Puteri.

“Kebanyakan pelancong luar datang dari Singapura, India, Filipina dan China. Kita akan terus berusaha untuk tarik pelancong dan menggandakan jumlah itu tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Johor Speed Fest 2022 di R&F Marina, di sini hari ini.

Terdahulu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Johor Yacht and Recreation Club dan Johor Speed Fest yang turut dihadiri Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim. 

Sementara itu, Encik Raven berharap Johor dan kerajaan Persekutuan terus menjalinkan kerjasama erat bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara.

“Saya turut berharap supaya diberikan perhatian kepada Johor sebab ada dua pintu masuk antarabangsa iaitu Singapura dan Indonesia di negeri ini. Selain itu, saya juga mengharapkan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dikaji semula,” katanya.

Program MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia untuk tempoh yang lama.

Dalam pada itu, Encik Suhairi berkata program Johor Speed Fest yang diadakan selama tiga hari bermula semalam, akan mengetengahkan R&F sebagai lokasi tarikan untuk rekreasi laut dan udara menerusi pameran kereta, bot dan motosikal berkuasa tinggi, jet ski, kapal layar dan kapal terbang laut.
Sumber : Bernama/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan