Skip to main content

Dunia

Johor sasar guna kod QR bagi pelepasan imigresen jelang pertengahan 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Johor sasar guna kod QR bagi pelepasan imigresen jelang pertengahan 2025

Gambar: Unit Komunikasi & Korporat Bangunan Sultan Iskandar/Facebook

Diterbitkan : 12 Dec 2024 07:32PM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 07:33PM
JOHOR BAHRU: Rakyat Singapura dan pelancong warga asing mungkin boleh menggunakan kod QR tanpa perlu menunjukkan pasport mereka bagi pelepasan imigresen di pusat-pusat pemeriksaan darat di Johor menjelang pertengahan 2025.

Seorang pegawai kanan kerajaan negeri Johor, Lee Ting Han berkata pada Rabu (11 Dis) bahawa pihak berkuasa Malaysia merancang untuk menggunakan kod QR bagi pelepasan imigresen yang akan diperluaskan kepada rakyat Singapura dan pemegang pasport asing lain menjelang pertengahan tahun depan.

Perkembangan ini diumumkan di tengah-tengah gesaan daripada syarikat-syarikat asing yang sedang menimbangkan untuk melabur di Johor sebagai sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura: Bagi pihak berkuasa Malaysia memudahkan pelepasan imigresen di pusat-pusat pemeriksaan darat - dianggap sebagai salah satu lintasan darat paling sibuk di dunia.

Dalam ucapannya semasa acara berkaitan SEZ yang dianjurkan oleh OCBC Bank di Johor Bahru, Encik Lee menegaskan bahawa melancarkan kod QR untuk rakyat Singapura dan pemegang pasport asing lain akan menjadi langkah penting dalam usaha mendigitalkan pergerakan pelawat merentasi sempadan darat dan mengurangkan kesesakan.

“Ini adalah isu warisan yang perlu kita tangani - pergerakan manusia. Setiap hari kami melihat 300,000 (hingga) 350,000 orang, menjadikannya salah satu sempadan (darat) paling sibuk di dunia,” kata Encik Lee.

“Baru pagi ini, Singapura telah mengumumkan bahawa ia akan memperluaskan perjalanan tanpa pasport di Pusat Pemeriksaan Woodlands (dan Tuas) untuk penumpang bas. Di Malaysia, kami telah menyelesaikan ujian perintis kami, dan kami akan memperluaskan sistem pelepasan bebas pasport menggunakan kod QR kami kepada semua rakyat Malaysia mulai awal tahun depan, dan kepada semua pemegang pasport, yang disasarkan pada pertengahan tahun depan.”

Apabila ditanya oleh Mediacorp di luar acara tersebut untuk memberikan lebih banyak perincian, Encik Lee - yang merupakan pengerusi jawatankuasa pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia Johor - berkata pihak berkuasa Malaysia telah mengambil perhatian tentang kemajuan Singapura dalam melancarkan inisiatif perjalanan tanpa pasport.

Ini termasuk hakikat bahawa dengan pelaksanaan penuh pelepasan kod QR di dewan bas, Singapura akan melaksanakan inisiatif pelepasan imigresen tanpa pasport untuk semua bentuk pengangkutan di pusat pemeriksaan darat, tambahnya.

“Kami telah menyelesaikan ujian perintis kami dan kami bersyukur kerana tiada gangguan teknikal berlaku semasa ujian perintis itu dijalankan dan bagaimana ia menerima begitu banyak sokongan daripada rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura,” katanya.

Pihak berkuasa Malaysia melancarkan percubaan perintis antara Jun dan November tahun ini untuk warga Malaysia yang melintasi pusat pemeriksaan darat dengan bas dan motosikal untuk menggunakan pelepasan kod QR.

Menyusuli pelaksanaan ujian perintis itu, Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa inisiatif itu akan diperluaskan kepada pemandu dan penumpang warga Malaysia mulai awal 2025.

Semasa ujian perintis itu, pihak berkuasa turut menggunakan tiga aplikasi berasingan - penumpang bas di kastam Kompleks Sultan Abu Bakar yang dihubungkan dengan Link Kedua Tuas menggunakan aplikasi MyTrip, manakala mereka yang berada di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang menghubungkan Seberang Tambak (Koswe) menggunakan aplikasi MyRentas. Penunggang motosikal menggunakan aplikasi MyBorderPass.

Encik Lee turut memberitahu Mediacorp bahawa sebuah syarikat telah dipilih daripada tiga syarikat oleh Kementerian Dalam Negeri, tetapi beliau tidak pula menyatakan yang mana satu.

Mediacorp telah menghubungi kementerian tersebut mengenai aplikasi yang akan digunakan untuk pelepasan imigresen menggunakan kod QR.

Bagaimanapun, pelaksanaan kod QR masih belum lancar sepenuhnya. Ahad lalu, isu teknikal yang menjejaskan suis teras di BSI menyebabkan kedua-dua lorong 'autogate' dan kod QR tidak berfungsi antara pukul 12.00 tengah hari dan 6.30 petang, mencetuskan barisan panjang untuk para pelawat.

KETERSAMBUNGAN LEBIH BAIK LEBIH PENTING DARIPADA INSENTIF UNTUK SEZ

Wakil-wakil syarikat yang hadir di acara OCBC itu mengalu-alukan inisiatif untuk memudahkan kelancaran pelepasan imigresen dan kargo merentasi pusat pemeriksaan darat.

Firma-firma ini - sebahagian daripadanya merupakan pelanggan OCBC yang berminat untuk mengembangkan operasi ke Johor - menambah bahawa selain insentif seperti pelepasan cukai, inisiatif-inisiatif yang memudahkan perjalanan rentas sempadan yang lancar dan pemprosesan permit yang cepat adalah lebih penting dalam menarik syarikat untuk melabur di Johor.

SEZ Johor-Singapura adalah inisiatif untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak, dengan menawarkan insentif kewangan dan bukan kewangan seperti pelepasan cukai dan perjalanan yang lebih mudah antara kedua-dua negara.

Para pemimpin dari kedua-dua Singapura dan Malaysia telah berbincang sepanjang tahun lalu dan perjanjian penuh mengenai zon itu dijangka ditandatangani pada Januari depan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita