Skip to main content

Dunia

Johor saran laluan kontra diaktifkan atasi kesesakan luar biasa di pusat pemeriksaan kastam

Anggaran Waktu Membaca:
Johor saran laluan kontra diaktifkan atasi kesesakan luar biasa di pusat pemeriksaan kastam

(Gambar: Onn Hafiz Ghazi/Facebook)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyarankan agar laluan kontra diaktifkan bagi mengatasi kesesakan luar biasa yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata kesesakan luar biasa sejak Khamis lepas (1 Jun) itu berlaku susulan musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu. 

Beliau berkata lebih 258,000 pelawat menggunakan laluan di BSI dan 63,000 di KSAB, pada petang Khamis.

"Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, saya telah meminta pengurusan BSI dan KSAB mempertimbangkan agar laluan kontra dibuka khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam, terutama sekali sewaktu musim cuti sekolah atau cuti panjang.

"Laluan kontra ini boleh diaktifkan bagi pergerakan masuk (inbound) dan keluar (outbound) dari negara ini dalam tempoh tertentu, seperti musim cuti sekolah atau musim perayaan," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat malam (2 Jun).

Encik Onn Hafiz, yang turun padang bagi meninjau kesesakan di CIQ BSI semalam, berkata pengguna Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) juga disaran untuk merancang perjalanan terlebih dahulu supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Beliau pada masa sama turut memohon agar pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk terus memastikan kelancaran aliran trafik keluar dan masuk ke negara ini.

Beberapa keping gambar kesesakan di CIQ BSI dikongsi di media sosial yang antaranya memaparkan orang ramai beratur panjang untuk memasuki bangunan itu.
Sumber : Bernama/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita