Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor peruntuk hampir RM1 juta bantu mangsa ribut Kampung Melayu Majidee

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperuntukkan hampir RM1 juta (S$297,500) bagi memberikan bantuan kepada 255 keluarga di Kampung Melayu Majidee yang terjejas akibat ribut pada 3 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata setiap keluarga mendapat bantuan awal sebanyak RM3,000 (S$893) yang disampaikan di Dewan Kampung Melayu Majidee pada Khamis (11 Mei).

Beliau berkata bantuan wang tunai itu merupakan sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar Johor, Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

"Bantuan awal ini diberikan kepada semua mangsa terjejas tanpa mengira kategori kerosakan kediaman mereka, sama ada tahap sedikit, sederhana atau teruk," katanya pada sidang media selepas meninjau proses penyerahan bantuan kepada mangsa di Dewan Kampung Melayu Majidee pada Khamis.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata bantuan bakul makanan turut diberikan kepada mangsa daripada Southern Volunteers dan Pejabat Parlimen Johor Bahru.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga masih membuat penilaian kerosakan rumah mangsa yang terlibat sebelum bantuan seterusnya diberikan.

"Selepas penilaian kerosakan rumah dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya akan memohon bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan untuk membantu (menghulurkan sumbangan) rumah yang rosak teruk," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa ribut Asmah Sakiran, 54 tahun, ketika ditemui meluahkan rasa kesyukuran atas pemberian bantuan awal itu.

Katanya, wang tersebut akan digunakan untuk membayar semula duit perkahwinan anaknya yang didahulukan bagi membaiki atap yang rosak akibat ribut.

"Makcik baiki dulu atap rumah dengan anggaran kos RM2,000 (S$595) menggunakan duit simpanan kahwin anak. Setiap petang hujan lebat, kalau tidak diganti cepat, barang rumah banyak yang akan rosak," katanya.

Selain menjejaskan rumah penduduk, kejadian ribut pada pukul 2.48 petang, 3 Mei lalu itu turut menyebabkan tiga kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan