Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor pertingkat operasi pam air bagi tangani banjir termenung di Batu Pahat

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mempergiatkan operasi mengepam air sebagai usaha menangani “banjir termenung” di daerah Batu Pahat dan berharap masalah itu dapat diselesaikan sebelum tiba Ramadan.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata meskipun banjir di negeri itu beransur pulih, terdapat beberapa kawasan di daerah berkenaan yang masih digenangi air akibat banjir termenung termasuk Sri Medan, Parit Jelutong dan Parit Raja.

Encik Onn Hafiz yang meninjau operasi pengepaman air banjir di Parit Jelutong, Pintu Air Sungai Senggarang dan Pintu Air Parit Asam Kumbang (di Batu Pahat) berkata kerajaan negeri tidak mahu isu itu berlanjutan dalam tempoh yang lama seperti sebelum ini.

"Bagi mempercepatkan proses penurunan air, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengambil pendekatan untuk mengepam air di kawasan berkenaan.

"Sebanyak 61 pam air berkapasiti 2, 5, 10 dan 20 cusec (kaki padu per saat) sedang beroperasi 24 jam dan 12 pam lagi akan ditambah," katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasminya, pada Sabtu (18 Mac).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan alternatif lain bagi menyelesaikan isu berkenaan termasuk kerja-kerja mendalamkan sungai utama di daerah terbabit.

"Misi Pasca Banjir Southern Volunteers juga akan melaksanakan kerja-kerja pascabanjir di daerah Batu Pahat selama empat hari bermula esok dengan kekuatan daripada 11 pihak berkuasa tempatan selain pertubuhan belia, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan badan korporat melibatkan 531 sukarelawan," katanya.

Seramai 21,079 mangsa banjir masih ditempatkan di 83 pusat pemindahan sementara yang beroperasi di Batu Pahat dan Segamat, setakat 12.00 tengah hari pada Sabtu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan