Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor pertimbang bangun semula flat kos rendah Taman Ungku Tun Aminah

Anggaran Waktu Membaca:
Johor pertimbang bangun semula flat kos rendah Taman Ungku Tun Aminah

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor. (Gambar: Bernama)

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mempertimbangkan untuk membangunkan semula flat kos rendah Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), yang mempunyai pelbagai masalah selain berusia lebih 40 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor berkata pembangunan semula flat mengandungi 44 blok bagi menyelesaikan isu penyenggaraan itu memerlukan perbelanjaan dianggar berjumlah RM26.3 juta ($7.8 juta).

"Sebagai contoh, bagi satu blok sahaja, kita (kerajaan Johor) terpaksa keluar kos lebih kurang RM1.8 juta (S$533,160) untuk 72 unit rumah, jadi setiap unit kena belanja dalam RM25,000 ($7,400) dan kos tersebut seperti bina rumah baru.


"Pilihan kedua pula, kita lakukan rejuvinasi, kita roboh sebahagian flat dan bina baharu. Kalau pembangunan semula ia boleh bertahan 40 tahun akan datang, jika keluar kos RM1.8 juta (S$533,160) untuk satu blok sahaja, kemungkinan akan bocor dari segi perpaipan dan sebagainya serta rosak lagi,” katanya kepada wartawan selepas menyertai aktiviti plogging Johor Bersih di flat berkenaan pada Ahad (21 Mei).

Beliau berkata kerajaan negeri pada masa sama akan melakukan projek perintis bagi menyelenggara sebuah blok di flat tersebut iaitu Blok 16, yang mempunyai masalah paling teruk antaranya membabitkan isu siling dan bumbung, pendawaian serta saliran dan perparitan.

Encik Mohd Jafni berkata projek perintis di blok mengandungi 72 unit rumah itu adalah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

"Untuk projek perintis di blok tersebut mungkin bermula pada Oktober depan dan jangka siap hujung tahun ini. Apabila siap, projek perintis ini akan menjadi sampel kepada kerajaan dari segi berapa banyak belanja dikeluarkan untuk satu blok dengan 72 unit, jadi adakah dengan perbelanjaan ini ia berbaloi atau sebaliknya," katanya.

Beliau pada masa sama berharap kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan khas untuk tujuan penyenggaraan flat awam yang berusia lebih 40 tahun di negeri tersebut.

Menurut Encik Mohd Jafni sebanyak 70 peratus Perbadanan Pengurusan (MC) di flat awam didapati menghadapi masalah pungutan caj penyenggaraan.

"Dengan hanya 20 hingga 30 peratus pemilik bayar, jadi mereka (MC) tidak boleh untuk meneruskan pengurusan komuniti di situ, malah ada flat awam yang tiada MC, sebab itu kerajaan Persekutuan perlu peruntuk bajet khas untuk flat awam berusia lebih 40 tahun yang kritikal," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan