Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor negeri pertama mulakan sidang Dewan Undangan Negeri

Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula hari ini (12 Ogos), pastinya menarik perhatian ramai pihak memandangkan Johor menjadi negeri pertama mengadakan sidang dewan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Anggaran Waktu Membaca:
Johor negeri pertama mulakan sidang Dewan Undangan Negeri

Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bermula pada 12 Ogos 2021. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Aug 2021 09:14AM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 09:15AM

JOHOR BAHRU: Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula hari ini (12 Ogos), pastinya menarik perhatian ramai pihak memandangkan Johor menjadi negeri pertama mengadakan sidang dewan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bakal dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, persidangan kali ini penting dan mencuri tumpuan memandangkan negara masih berdepan dengan cabaran mengekang penularan pandemik COVID-19.

Persidangan akan bermula dengan titah dan perasmian oleh Sultan Ibrahim sebelum ditangguh dan bersambung Ahad ini (15 Ogos).

Persidangan tujuh hari, yang dijadual berakhir 22 Ogos itu, dilihat sebagai platform penting bagi kerajaan negeri memperjelaskan mengenai pelan tindakan untuk pemulihan ekonomi negeri Johor, selain bantuan yang dihulurkan kepada rakyat Johor yang terjejas berikutan COVID-19.

Johor merupakan negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

UMNO Johor menerajui kepimpinan negeri dengan 14 kerusi, diikuti oleh Bersatu (12 kerusi) termasuk DUN Gambir yang disandang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, MIC (dua) dan PAS (satu) manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat berkata setakat 4 Ogos, hanya satu usul berkenaan program vaksinasi kepada rakyat Johor diterima pihaknya.

Kali terakhir sidang DUN Johor diadakan pada 26 Nov hingga 6 Dis 2020, yang menyaksikan Menteri Besar Hasni Mohammad membentangkan Belanjawan Johor 2021.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan