Skip to main content

Dunia

Johor mohon laluan darat dilaksana seiring VTL udara dengan S'pura

Kerajaan negeri Johor memohon agar pembukaan Laluan Perjalanan Penumpang Divaksin (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura dibuka bersama dengan VTL udara pada 29 Nov ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor mohon laluan darat dilaksana seiring VTL udara dengan S'pura

Koswe Singapura-Malaysia. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 11:16AM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 11:45AM

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor memohon agar pembukaan Laluan Perjalanan Penumpang Divaksin (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura dibuka bersama dengan VTL udara pada 29 Nov ini.

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata, kira-kira 300,000 rakyat Malaysia bekerja secara ulang alik ke republik berkenaan setiap hari.

"VTL menerusi udara telah dibincangkan. Tetapi melalui jalan darat, kerajaan negeri meminta supaya tarikh pelaksanaan disekalikan, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dipersetujui kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Apresiasi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 di Auditorium RTM Johor malam tadi.

Isnin lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, mengumumkan pelaksanaan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA, mulai 29 Nov ini.

Di bawah VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura dan tidak perlu menjalani kuarantin atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) jika melepasi ujian COVID-19.

Menurut Hasni, penguatkuasaan SOP VTL darat bergantung kepada kapasiti Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) yang sudah mula dibina.

Pihaknya mencadangkan kapasiti pelawat seramai 100 individu sehari, melibatkan pengangkutan awam sahaja.

"Kalau VTL udara mungkin lebih mudah dikendalikan kerana setiap penerbangan mempunyai jadual masa ketibaan, yang membolehkan petugas bersedia.

"Dari segi VTL darat, memerlukan persediaan petugas seperti Jabatan Imigresen dan bergantung kepada keluasan BTC bagi menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap pengembara.

"Buat permulaan, mungkin boleh hadkan dengan jumlah 100 pengembara, yang hanya menaiki pengangkutan awam sahaja kerana ia mudah untuk dikawal," jelasnya.

Sumber : Agensi berita/AW/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita