Skip to main content

Dunia

Johor, Melaka antara 10 negeri di Malaysia dijangka dilanda hujan, ribut petir ketika Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
Johor, Melaka antara 10 negeri di Malaysia dijangka dilanda hujan, ribut petir ketika Aidilfitri

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 29 Mar 2025 05:47PM Dikemas Kini : 29 Mar 2025 05:48PM
SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca hujan dan ribut petir bakal melanda di beberapa kawasan semasa Aidilfitri tidak lama lagi.

Agensi itu memaklumkan, negeri-negeri terjejas akan mengalami hujan serta ribut petir pada sebelah pagi, petang dan malam sepanjang dua hari iaitu 31 Mac dan 1 April.

"Pada pagi 31 Mac, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak (Sarikei dan Mukah).

"Sementara pada pagi 1 April, cuaca sama turut diramal melanda Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta bahagian barat Johor," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu (29 Mac).

Dalam pada itu, MetMalaysia turut menjangkakan hujan serta ribut petir bakal melanda lebih banyak kawasan pada sebelah petang.

Justeru menurutnya, 10 negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak serta Sabah diramalkan akan mengalami keadaan cuaca tersebut pada 31 Mac.

"Pada 1 April, ribut petir dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

"Bagi cuaca malam, hujan serta ribut petir dijangka berlaku di Pahang dan Sabah (Tawau) pada 31 Mac manakala Terengganu, Pahang serta Sabah (Sandakan dan Tawau) hujan berserta ribut pada 1 April," menurutnya lagi.

Sementara itu MetMalaysia menjelaskan, tiada perancangan untuk mengeluarkan sebarang amaran waspada mahupun ribut berbahaya dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Malaysia kini berada dalam fasa Monsun Peralihan yang dijangka berterusan sehingga Mei sebelum memasuki Monsun Barat Daya.

"Fasa peralihan ini dicirikan dengan hujan lebat berserta ribut petir pada waktu petang hingga awal malam terutama di kawasan barat Semenanjung, pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Hujan lebat berserta angin kencang akan berlaku di mana-mana kawasan yang terlibat pada waktu petang tetapi bersifat sementara," jelasnya lagi.

Setakat ini, MetMalaysia menjangkakan tidak akan ada sebarang perubahan pada laporan cuaca bagi tempoh tiga hari seterusnya termasuklah pada hari Aidilfitri itu kelak.

Orang ramai yang pulang ke kampung halaman atau melakukan aktiviti luar dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan baik serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca semasa.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita