Skip to main content

Dunia

Johor mahu percepatkan usaha pulih sungai tercemar

Anggaran Waktu Membaca:
Johor mahu percepatkan usaha pulih sungai tercemar

(Gambar: Facebook/Ah Soon)

Diterbitkan : 23 Feb 2025 12:38PM Dikemas Kini : 23 Feb 2025 12:40PM
JOHOR BAHRU: Kejayaan mengurangkan jumlah sungai tercemar daripada 14 kepada sembilan mendorong kerajaan Johor mempercepatkan usaha pemulihan sungai bagi mencapai matlamat sifar sungai tercemar.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata usaha berkenaan bukan hanya sekadar inisiatif daripada kerajaan, namun ia juga memerlukan penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan sungai terus bersih dan bebas daripada pencemaran, lapor Sinar Harian.

"Kejayaan ini adalah hasil langkah proaktif kerajaan negeri bersama pihak swasta dan sukarelawan.

“Kita tidak boleh membiarkan sungai kita terus tercemar akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

"Oleh itu, semua rakyat Johor perlu bersama dalam usaha ini kerana kebersihan sungai adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya kepada wartawan pada Ahad (23 Feb).

Setakat ini, antara sungai yang berjaya dipulihkan termasuk Sungai Temenin di Kota Tinggi serta beberapa sungai di Batu Pahat dan Pasir Gudang.

Encik Onn Hafiz menambah, untuk mempercepatkan lagi proses pemulihan, kerajaan negeri menyalurkan RM2 juta (S$600,000) dalam Belanjawan Johor tahun ini bagi menjalankan usaha pembersihan dua sungai yang masih dalam kategori tercemar, iaitu Sungai Buluh dan Sungai Tanggal Batu di Pasir Gudang.

Ia adalah sebahagian daripada RM7 juta (S$2.1 juta) yang diperuntukkan bagi kerja-kerja pemulihan sungai di Johor, dengan tumpuan diberikan kepada langkah komprehensif yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Banyak sampah yang mencemari sungai datang dari kawasan perumahan dan setinggan. Kita tidak boleh lagi membiarkan ini berlarutan. Saya menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperketatkan penguatkuasaan bagi menangani masalah ini,” katanya, seperti dinukil laporan Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita