Johor luluskan pindaan calon 18 tahun bertanding dalam pilhan raya umum
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis (6 Jan) meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Gambar fail sidang khas DUN Johor. (Gambar: BERNAMA)
ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis (6 Jan) meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Cadangan pindaan had umur terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 itu - yang dikemukakan Menteri Besar Hasni Mohammad dan disokong ADUN Semarang Datuk Samsolbari Jamali, diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.
"Bahawa dengan ini diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut: Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021.
"Dan Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta," kata Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat semasa Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri, hari ini.
Pindaan rang undang-undang itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Ketika membentangkan usul pindaan tersebut, Encik Hasni berkata pindaan itu merupakan satu daripada pelbagai inisiatif berterusan kerajaan negeri melibatkan pemberdayaan orang muda Johor.
"Diharapkan agar pindaan yang dilakukan ini dapat memberikan kemeriahan dan keterujaan dalam pentas demokrasi negara dan negeri Johor khususnya.
"Semoga pentas demokrasi kita tidak dipenuhi dengan permainan persepsi semata-mata tetapi disemarakkan dengan budaya perdebatan idea yang matang lagi membina untuk kebaikan semua pihak," kata Encik Hasni, yang merupakan ADUN Benut.
Turut membahaskan pindaan ke atas enakmen tersebut ialah dua ADUN kerajaan iaitu ADUN Panti Hahasrin Hashim dan ADUN Tenggaroh K. Raven Kumar dan dua pembahas pembangkang, ADUN Pulai Sebatang Mohammad Taqiuddin Cheman dan ADUN Stulang Andrew Chen Kah Eng.
Speaker DUN Johor kemudiannya memaklumkan persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan.
Dengan perkembangan terkini, Johor menjadi negeri terbaru mengikut jejak beberapa negeri termasuk Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai ADUN pada pilihan raya umum akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.