Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor, Kerajaan Dalam Negeri M'sia laksana inisiatif baru tangani kesesakan CIQ

Anggaran Waktu Membaca:
Johor, Kerajaan Dalam Negeri M'sia laksana inisiatif baru tangani kesesakan CIQ

Gambar: Onn Hafiz Ghazi/Facebook

Diterbitkan : 02 May 2023 02:32PM Dikemas Kini : 02 May 2023 02:33PM
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu kesesakan yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata Johor dan kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam usaha memperbaiki serta menambah baik sistem sedia ada, sekali gus mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Beliau berkata antara inisiatif baru yang dibincangkan dari segi isu teknikal di BSI adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi pemantauan kaunter, penggabungan kaunter, ubah suai e-gate, 'Automatic Land Barrier' (ALB), penambahan bumbung di MBike dan penyenggaraan pendingin hawa.

“Di KSAB pula membabitkan penambahan bumbung di MBike, penambahbaikan bumbung di dewan penumpang, mengkaji semula pemasangan penghadang jalan bagi tujuan penyuraian trafik sebelum sampai ke ‘checkpoint’, penambahbaikan papan tanda arah dan mengkaji keperluan penyediaan bas ulang-alik dari RnR (rehat dan rawat) ke KSAB bagi mengelakkan kenderaan masuk ke laluan bas.

“Bagi menangani isu sumber manusia di BSI dan KSAB, hasil mesyuarat telah bersetuju untuk mengkaji semula waktu pertukaran syif semasa waktu puncak dan menyelesaikan isu kekurangan staf imigresen,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Selasa (2 Mei).

Menurut beliau selain itu, hasil mesyuarat juga bersetuju untuk menyelesaikan isu pentadbiran seperti tuntutan elaun kerja lebih masa serta menitikberatkan kebajikan staf dengan menambah baik ruang rehat, keselesaan kaunter seperti pendingin hawa dan kerusi.

Hantaran itu turut memaklumkan Encik Onn Hafiz, Ketua Setiausaha KDN Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia Zakaria Shaaban berkesempatan meninjau keadaan di BSI, pagi Selasa.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan