Johor kenal pasti tanah wakaf untuk dijadikan rumah-rumah murah
Kerajaan Negeri Johor sudah mengenal pasti beberapa tanah wakaf di negeri itu untuk digunakan bagi membina rumah yang mampu dimiliki rakyat.

Mantan Menteri Besar Johor, Osman Sapian. (Gambar fail: Howard Low)
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor sudah mengenal pasti beberapa tanah wakaf di negeri itu untuk digunakan bagi membina rumah yang mampu dimiliki rakyat.
Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata usaha berkenaan itu akan dijayakan dengan kerjasama Majlis Fatwa terutama berkenaan syarat pertukaran penggunaan tanah wakaf di negeri itu.
Menurutnya, usaha berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan pusat yang menyasarkan pembinaan sejuta rumah yang mampu dibeli rakyat selain kerajaan negeri yang mahu membina 100,000 rumah itu di Johor.
"Di seluruh Johor, kita ada 3,700 ekar (1,497.3 hektar) tanah wakaf terdiri daripada wakaf sekolah agama, tanah kubur, masjid, surau dan sebagai contoh, seperti di Bandar Baru Uda, di sana sudah ada sekolah agama dan ada tanah wakaf untuk dirikan sekolah agama dan hospital, jadi kita akan ubah melalui Majlis Fatwa.
Ada juga tanah wakaf yang sudah lama tidak dibangunkan hingga berpuluh tahun yang ditinggalkan begitu saja jadi kita akan bina rumah mampu biaya untuk rakyat,” katanya kepada para wartawan pada majlis penyerahan kunci Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) Pembangunan Denai Nusantara oleh UEM Sunrise Bhd hari ini (29 Jan).
Dalam masa yang sama, beliau juga mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memikirkan cara membantu pembeli perumahan yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.
"Itu sebab dalam ucapan saya minta supaya kerajaan bukan sahaja membina rumah, tetapi membantu rakyat yang kurang berkeupayaan dengan menyediakan pinjaman secara mudah.
Kita kena fikirkan bagaimana untuk membantu dalam soal ini. Kita kena atasi perkara macam ini," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.