Skip to main content

Dunia

Johor, Kementerian Pengangkutan Malaysia tubuh pasukan petugas khas bincang isu kesesakan trafik RTS

Anggaran Waktu Membaca:
Johor, Kementerian Pengangkutan Malaysia tubuh pasukan petugas khas bincang isu kesesakan trafik RTS

(Gambar: Facebook/Onn Hafiz Ghazi)

Diterbitkan : 12 Dec 2024 08:58AM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 09:00AM
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia bersetuju untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membincangkan isu kesesakan jalan raya dan penyuraian trafik Sistem Gerak Cepat (RTS).

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil 3/2024, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen pada Rabu (11 Dis).

Beliau berkata, pelbagai isu dan inisiatif dibincangkan menerusi mesyuarat tersebut dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di Johor Bahru dan Lembah Klang, yang menjadi isu kritikal mempengaruhi kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut membentangkan beberapa inisiatif utama yang telah dan akan dilaksanakan, termasuk pelaksanaan rangkaian infrastruktur pengangkutan dan penyuraian trafik di kawasan ‘Greater JB’, dengan mengenal pasti 77 kawasan kesesakan lalu lintas melibatkan empat pihak berkuasa tempatan.
"Pelaksanaan dan cadangan lokasi Park & Ride bagi rangkaian perkhidmatan bas, penambahan rangkaian laluan bas henti-henti serta memperluaskan rangkaian infrastruktur jalan raya di Johor terutamanya kawasan 'Greater JB' turut dibentangkan," katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Encik Onn Hafiz berkata, beliau yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, segala usaha serta inisiatif yang telah dirancang dapat dilaksanakan demi memastikan isu kesesakan dan keselamatan jalan raya sentiasa diberi keutamaan demi keselesaan pengguna khususnya rakyat Johor.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita