Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor Jaya dilanda ribut, banjir kilat

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Ribut, hujan lebat berserta angin kencang selama lebih 30 minit menyebabkan enam bumbung Rumah Pangsa Ros Merah di Johor Jaya, Johor Bahru tercabut diterbangkan angin pada petang Jumaat (12 Ogos).

Demikian menurut laporan Astro AWANI. 

Turut dianggarkan lebih 50 kediaman yang rata-rata berada di tingkat empat dan lima rumah pangsa terbabit turut dilimpahi air hujan.

Para penduduk di kawasan itu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai antara terburuk yang dialami mereka dalam tempoh lebih 20 tahun menginap di rumah pangsa tersebut.

Suri rumah, Rosliza Jaafar, semasa ditemui Astro AWANI berkata, akibat angin kencang, palang kayu bumbung blok sebelah diterbangkan masuk ke rumahnya sebelum bumbungnya sendiri tercabut.

"Masa itu saya sedang kemas rumah, saya lihat bumbung rumah depan tu atap terbang dan kayu tertusuk masuk dalam rumah saya. Saya sangat takut, saya ingat rumah saya tak kena, saya paling belakang, air dah masuk rumah, air hujan luar, air hujan juga kat dalam rumah," katanya kepada Astro AWANI.

Buat seorang lagi penduduk, Nizam Maskam yang juga seorang pekerja kilang, tidak ada apa di benak fikirannya ketika kejadian selain mencari kedua-dua orang tuanya.

"Hari ini Jumaat, hendak pergi solat Jumaat, angin dia lain macam, itu yang jadi macam ini. Pertama sekali saya cari mak ayah tengah uzur kat rumah. Lepas itu saya tak cari apa, barang kat rumah tidak dapat diselamatkan.

"Habis basah, hancur, mereka dah uzur umur dah umur 80 tahun lebih. Angkat pangku letak dia dekat beranda. Ini kali pertama kejadian yang teruk, dia sekali terus ribut angin dan hujan sekali," katanya kepada Astro AWANI. 

Selain Rumah Pangsa Ros Merah, beberapa jalan turut terjejas dengan insiden pokok tumbang akibat ribut di kawasan Mukim Plentong.

Antaranya Jalan Surau dan Jalan Bilal di Kampung Melayu Pandan, Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting di Masai.

Turut terjejas Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan