Skip to main content

Dunia

Johor jalankan pengeboman air tangani kebakaran tanah gambut Pengerang

Anggaran Waktu Membaca:
Johor jalankan pengeboman air tangani kebakaran tanah gambut Pengerang
Helikopter MI-17 milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang Jaya berjaya melaksanakan 21 pengeboman air. (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 28 Jan 2026 06:56PM Dikemas Kini : 28 Jan 2026 06:57PM
KOTA TINGGI: Teknik pengeboman air menggunakan helikopter MI-17 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bermula tengah hari Rabu (28 Jan) membantu mengurangkan kepulan asap akibat kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai di Kota Tinggi.

Timbalan Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata ini sekali gus memberi kesan positif kepada penduduk sekitar dan mengurangkan risiko asap tebal merebak ke luar kawasan.

“Operasi pemadaman dijalankan secara bersepadu, termasuk pembinaan 'fire break' dengan longkang telah dialirkan dengan air dan pembanjiran bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan lain, sambil memantau pergerakan asap,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba (PKB) Operasi Pemadaman Kebakaran Tanah Gambut di Kota Tinggi pada Rabu.

Encik Muhammad Al Mustakim berkata setakat ini, tiga lokasi kebakaran turut dikenal pasti di Pengerang dengan dua daripadanya sudah berjaya dipadamkan, manakala satu lagi masih dalam proses pemadaman.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang melakukan tindakan terbaik dalam perkara itu termasuk bagi memastikan asap kebakaran tidak sampai menjejas negara jiran, sekali gus mengelakkan sebarang isu diplomatik.

“Daripada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri semalam, kita difahamkan asap belum sampai ruang udara Singapura,” katanya.

Pada Selasa, ia dilaporkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang memantau keadaan jerebu secara rapi selepas bau hangit dikesan di beberapa kawasan di Singapura baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, setakat pukul 12.00 tengah hari, sejumlah 153 penduduk daripada 50 keluarga di Taman Bayu Damai sudahpun ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan menyusuli kebakaran sejak Jumaat lalu.

Setakat pukul 12.00 tengah, kira-kira 54.8 peratus kawasan kebakaran berjaya dipadamkan, dan penggunaan aset udara dijangka meningkatkan kadar pemadaman khususnya di kawasan tengah.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita