Johor jalankan kajian untuk kesan sumber air alternatif
Kerajaan negeri sedang menjalankan kajian untuk mengesan potensi sumber air di negeri itu yang boleh dijadikan sumber alternatif kepada takungan-takungan simpanan air sedia ada.
(Gambar: Bernama)
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri sedang menjalankan kajian untuk mengesan potensi sumber air di negeri itu yang boleh dijadikan sumber alternatif kepada takungan-takungan simpanan air sedia ada.
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata pihaknya akan mencari sumber air alternatif yang bertujuan menampung kegunaan yang dilihat semakin meningkat.
“Kita mesti merangka perancangan dan bertindak untuk memastikan sumber bekalan air kita mencukupi.
“Buat masa ini, sumber air permukaan yang terhad dan tercemar juga memerlukan kos rawatan yang sangat tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pemantauan Air Sedunia 2020 Peringkat Negeri Johor di Empangan Upper Layang pada Ahad (11 Okt).
Encik Hasni berkata statistik penggunaan air oleh pengguna domestik di Johor juga merekodkan sebanyak 216 per liter kapita sehari yang dilihat semakin bertambah setiap tahun.
“Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan penggunaan air bagi setiap rakyat Malaysia kepada 180 liter sehari menjelang 2025 dan kadar yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu 165 liter sehari.
“Oleh itu, janganlah kita menggunakan air secara berlebihan...air bukanlah satu kemewahan yang perlu dilebih-lebihkan kerana ia adalah satu keperluan,” katanya.
Encik Hasni dalam masa sama berkata pengurusan air yang cekap bukan hanya tertumpu kepada kerajaan negeri sahaja, namun daya usaha bagi menguruskan air sebagai suatu perkara yang serius memerlukan penglibatan agensi berkaitan.
Katanya, program Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) yang dikenali sebagai Pelan Keselamatan Air
(WSP) dengan kolaborasi Ranhill SAJ, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bertujuan mewujudkan keharmonian dalam pembekalan air di negeri ini, dilihat sedikit sebanyak dapat membantu pengurusan air lebih cekap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.