Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor isytihar cuti khas selepas JDT juarai Liga Super, atlit negeri muncul juara SUKMA

Anggaran Waktu Membaca:
Johor isytihar cuti khas selepas JDT juarai Liga Super, atlit negeri muncul juara SUKMA

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 16 Oct 2022 10:43AM Dikemas Kini : 16 Oct 2022 10:43AM
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengisytiharkan hari ini (16 Okt) sebagai cuti khas peristiwa sempena kejayaan gemilang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan memenangi 10 piala dalam lain-lain kejuaraan yang disertai JDT pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani berkata pemberian cuti khas peristiwa itu juga dibuat sebagai tanda meraikan kejayaan cemerlang negeri itu menjuarai Kejohanan Sukan SUKMA Edisi ke-20.

Dalam kenyataannya semalam, beliau berkata ia merupakan kejayaan Johor yang pertama sejak temasya sukan dwitahunan itu mula dianjurkan pada tahun 1986.

Johor unggul dengan kutipan sebanyak 77 pingat emas, sekali gus jauh melepasi sasaran yang ditetapkan, iaitu 55 pingat emas.

Selain itu, kerajaan negeri juga ingin memberi penghargaan kepada beberapa acara sukan lain yang disertai oleh pasukan negeri Johor yang mencatatkan kecemerlangan dan merangkul kejuaraan sepanjang 2022 seperti bola jaring, menerusi Johor Jewels, yang menjuarai Sooka Netball Super League (NSL) 2022.

Pasukan sepak takraw juga beraksi cemerlang apabila berjaya menjuarai Piala Tun Ali pada Ogos lalu, manakala pasukan ragbi menjuarai Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan B-21 dan menjadi johan dalam Kejohanan HARP B-19 Lelaki 2022.

Menurut Encik Azmi, pemberian cuti itu juga merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada pihak terlibat dan rakyat Johor yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada setiap pasukan yang bertanding mewakili negeri Johor Darul Ta’zim.

Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa itu adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].
Sumber : Bernama/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa