Skip to main content

Dunia

Johor hasrat pelajari model kejayaan SG urus pasar dan pusat penjaja

Anggaran Waktu Membaca:
Johor hasrat pelajari model kejayaan SG urus pasar dan pusat penjaja

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, yang mengetuai rombongannya dari Malaysia, bersalaman dengan pegerai di Pasar Geylang Serai. (Gambar: Mohd Jafni Md Shukor/Facebook)

Diterbitkan : 02 Aug 2025 03:10PM Dikemas Kini : 02 Aug 2025 04:14PM
JOHOR BAHRU: Johor berhasrat mempelajari dan menyesuaikan model kejayaan Singapura dalam pengurusan pusat penjaja dan pasar awam secara menyeluruh bagi meningkatkan kualiti kemudahan, kebersihan dan suasana perniagaan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata demikian menyusuli lawatan kerja bersama Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi di Pusat Makanan Geylang Serai, satu daripada pusat penjaja ikonik di Singapura. 

“Kawasan ini bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong, tetapi juga berfungsi sebagai pusat ekonomi masyarakat yang rancak selain menggabungkan elemen moden, kebersihan tinggi serta kawalan kesihatan yang ketat tanpa mengabaikan nilai budaya dan warisan masyarakat tempatan,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu (2 Ogos). 

Encik Mohd Jafni berkata beliau melihat sendiri aspek perancangan bandar, penyediaan tapak niaga yang selesa, kawalan lesen serta pemantauan berjadual dilaksanakan dengan disiplin tinggi, menjadikan model penjaja dan pasar di Singapura begitu berjaya, cekap dan teratur serta diterima masyarakat pelbagai kaum.

Beliau berkata kawasan Geylang Serai turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan masyarakat yang direka secara inklusif dan mesra pengguna, berkonsepkan "semua dalam satu tempat" yang wajar dijadikan inspirasi pembangunan pasar moden di Johor.

 
Encik Mohd Jafni berkata pendekatan itu boleh disesuaikan di Johor, khususnya di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan Majlis Perbandaran Pontian yang menjadi pusat pelancongan serta tumpuan rakyat.

“Dengan penyediaan kemudahan bermutu tinggi, kita bukan sahaja mampu menaikkan imej perniagaan kecil dan sederhana, bahkan turut menjaga kepentingan pengguna serta mencipta suasana perniagaan yang lebih selamat dan berdaya saing,” katanya. 

Beliau berkata antara inisiatif yang turut diperkenalkan di Singapura ialah penggunaan Baucar CDC (Majlis Pembangunan Masyarakat), satu bentuk bantuan tunai digital bernilai hingga S$500 yang diberikan oleh pemerintah kepada semua isi rumah untuk dibelanjakan di kedai, pasar dan gerai penjaja tempatan berdaftar.

“Bantuan ini mengurangkan kos sara hidup dan pada masa yang sama, menyokong peniaga kecil. Menariknya, baucar ini tidak boleh digunakan di pasar raya besar atau francais besar, satu langkah strategik untuk menggalakkan sokongan terhadap perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata segala maklumat yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam rangka pelan tindakan penambahbaikan pengurusan penjaja dan pasar di bawah agenda Maju Johor serta reformasi kerajaan tempatan. 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita