Johor harap RGL dengan S'pura tidak digantung
Kerajaan Johor berharap agar Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) antara Malaysia dengan Singapura diteruskan supaya dapat terus memacu pertumbuhan industri serta merancakkan pelaburan di negeri itu.

(Gambar: Mediacorp)
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor berharap agar Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) antara Malaysia dengan Singapura diteruskan supaya dapat terus memacu pertumbuhan industri serta merancakkan pelaburan di negeri itu.
Rayuan itu dibuat menyusuli keputusan Singapura untuk menggantung skim RGL berkenaan selama tiga bulan mulai esok (1 Feb).
Ketika menyampaikan hasrat kerajaan negeri, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata pendirian tersebut telahpun disampaikan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang mana ianya dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu ini (3 Feb).
"Kementerian Luar juga sudah menghubungi kerajaan negeri berhubung skim RGL ini. Pendirian kerajaan negeri adalah kami mahukan skim laluan RGL diteruskan.
“Kami percaya ada banyak pelaburan Singapura di Johor, dengan adanya persefahaman seperti ini, ia dapat membantu industri dan pelaburan negara jiran yang mempunyai kepentingan di Johor. Maka itu kami harap kerajaan persekutuan juga akan membenarkan pemain industri, pihak yang layak menggunakan RGL diteruskan,” katanya pada sidang media yang dilakukan secara maya hari ini (31 Jan).
Selain Malaysia, pengumuman Singapura untuk menggantung skim tersebut turut melibatkan Jerman dan Korea Selatan dalam usahanya menangani risiko kes import COVID-19.
Selain tiga negara berkenaan, Singapura turut melaksanakan RGL dengan Brunei, Indonesia, Jepun dan enam wilayah di China.
Pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura menerusi RGL mula dibuka mulai 17 Ogos tahun lalu bagi membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting serta tujuan rasmi antara kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.