Johor harap HSR diteruskan meski tidak lagi libatkan S'pura
Kerajaan Negeri Johor berharap agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diumumkan penamatannya pada Jumaat (1 Jan), tetap diteruskan meskipun jajaran baharu tidak melibatkan Singapura.
Konsep reka bentuk bagi stesen Muar di laluan HSR KL-S'pura. (Gambar fail: MyHSR)
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor berharap agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diumumkan penamatannya pada Jumaat (1 Jan), tetap diteruskan meskipun jajaran baharu tidak melibatkan Singapura.
Menteri Besar Ir Hasni Mohammad berkata keputusan penamatan itu turut memberi peluang kepada kerajaan persekutuan untuk meneliti semula pulangan pelaburan projek tersebut kepada negara.
Beliau juga yakin kerajaan mempunyai perancangan lebih baik untuk Johor berikutan lebih 300 kilometer daripada jajaran asal HSR meliputi negeri tersebut yang akan turut menerima impak langsung manfaat pembangunannya.
“Antara perkara yang kita (Johor) harapkan adalah agar HSR dapat diteruskan walaupun tidak melibatkan Singapura. Saya percaya ia boleh memberi pulangan langsung kepada ekonomi negara dan Johor, lebih-lebih lagi apabila siapnya projek Sistem Transit Rapid Link (RTS Link).
“Apabila kita merancang untuk membina HSR, mungkin pertimbangan mengenai kewujudannya belum jelas dan ini adalah peluang untuk melihat semula perancangan HSR sama ada bersendirian dan Malaysia menyusun (semula) pembangunan industri rel,” kata beliau kepada pemberita dalam sidang media pada Sabtu (2 Jan).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata, ini termasuk melihat semula penggunaan Bas Rapid Transit (BRT) di Iskandar Puteri yang boleh ditukar kepada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan melengkapkan sistem perhubungan rel di Johor.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak menolak penglibatan Singapura dalam aspek pelaburan meskipun jajaran baharu HSR tidak melibatkan republik itu kerana usaha tersebut turut memberi manfaat kepada rakyatnya di Malaysia.
Pada masa sama, Encik Hasni juga berharap agar kerajaan Johor turut dilibatkan dalam perbincangan baru projek itu bagi mengambil kira kepentingan rakyat negeri itu.
"Kita berharap sebarang perbincangan baru akan turut mengambil kira pandangan Johor dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat serta limpahan daripada pelaksanaannya," katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata satu kajian terperinci akan dijalankan yang meliputi semua aspek termasuk daya maju projek kereta api laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.