Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor harap Hospital Sultanah Aminah 2 tersenarai dalam belanjawan akan datang

Anggaran Waktu Membaca:
Johor harap Hospital Sultanah Aminah 2 tersenarai dalam belanjawan akan datang

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 04 Dec 2022 04:35PM Dikemas Kini : 04 Dec 2022 04:36PM
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor berharap pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 tersenarai dalam belanjawan yang akan dibentangkan di bawah kerajaan baru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata pembinaan hospital baru itu diharapkan menjadi kenyataan selepas ia tidak tersenarai dalam Bajet 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu.
Beliau berkata pembinaan hospital baru itu penting kerana kadar penggunaan katil di dua hospital utama di Johor Bahru iaitu HSA serta Hospital Sultan Ismail (HSI), kini melebihi 80 peratus dan tidak mampu menampung pertambahan pesakit.

“Mengikut statistik kadar penggunaan katil di dua hospital itu masih belum mampu untuk menampung pesakit dengan kadar penggunaan katil 80 peratus ke atas. Jadi dengan kepadatan di hospital tersebut, kita sangat memerlukan hospital baru.

“Oleh itu, saya mewakili negeri Johor berharap agar kerajaan baru ini dan juga Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa, dapat membantu kita dalam menjadikan projek HSA 2, menjadi kenyataan,” katanya kepada wartawan di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri pada Ahad (4 Dis).

Encik Ling berkata pihaknya difahamkan terdapat beberapa perkara yang timbul termasuk masalah tapak untuk pembinaan HSA 2. Namun, kerajaan negeri mengambil inisiatif mencadangkan tapak lain bagi pembinaan hospital baru itu.

“Tanah sudah disediakan, saya telah dimaklumkan sebab tidak tersenarai untuk belanjawan tahun hadapan kerana disebabkan ada rumah setinggan di kawasan tersebut.

“Jadi, cadangan daripada kerajaan negeri ialah supaya kita menggunakan tapak di sebelah yang tidak meliputi rumah setinggan tersebut. Jadi dengan itu kita dapat membina hospital baru,” katanya.

Bagaimanapun, Encik Ling berkata Hospital Pasir Gudang yang kini dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Pada 12 Ogos, mantas Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Hospital Pasir Gudang dijangka siap sepenuhnya pada November 2024, manakala HSA 2 pula akan diumumkan secara rasmi pada belanjawan 2023.

Encik Khairy dilapor berkata dengan pembinaan Hospital Pasir Gudang dan HSA 2, ia akan dapat membantu mengatasi kesesakan, khususnya di dua hospital utama di Johor Bahru iaitu HSA dan HSI.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan