Skip to main content

Dunia

Johor catat 239 nahas jalan raya dalam tempoh 24 jam pada 30 Mac

Johor merekodkan 239 kemalangan jalan raya melibatkan dua kes kemalangan maut dengan empat kematian dalam tempoh 24 jam, pada Ahad (30 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Johor catat 239 nahas jalan raya dalam tempoh 24 jam pada 30 Mac

Ketua Polis Johor M Kumar menggesa orang ramai untuk mengamalkan sikap bersabar dan mematuhi peraturan jalan raya. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Mar 2025 04:50PM Dikemas Kini : 31 Mar 2025 04:51PM
JOHOR BAHRU: Johor merekodkan 239 kemalangan jalan raya melibatkan dua kes kemalangan maut dengan empat kematian dalam tempoh 24 jam, pada Ahad (30 Mac). 

Ketua Polis Johor M Kumar mengatakan bahawa angka berkenaan adalah tinggi bagi statistik harian apatah lagi ia berlaku ketika menjelang Aidilfitri.

“Orang ramai diminta mengamalkan sikap bersabar dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya supaya kita sama-sama dapat mengelakkan situasi yang tidak diingini berlaku,” kata beliau. 

Encik Kumar berkata demikian kepada para wartawan semasa Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Isnin (31 Mac).

Berhubung aliran kemasukan trafik di Johor, Encik Kumar berkata sekitar 30,000 kenderaan luar memasuki negeri Johor pada Ahad, termasuk menerusi Tambak Johor dan Linkedua.

“Setakat ini tiada kesesakan teruk berlaku, mungkin semalam ada sedikit tetapi pagi ini aliran trafik di seluruh negeri kembali lancar,” katanya sambil menambah seramai 4,000 pegawai dan anggota bertugas sempena Aidilfitri, termasuk 1,998 daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Pada Jumaat lalu, Encik Kumar dilaporkan sebagai berkata kira-kira dua juta kenderaan luar dijangka memasuki Johor dan bilangan itu menyaksikan peningkatan hingga tiga kali ganda berbanding hari-hari biasa.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita