Skip to main content

Dunia

Johor capai 70% pemberian dos penggalak, beri perlindungan kepada pengundi

Anggaran Waktu Membaca:

KLUANG: Johor sudah mencapai sasaran pemberian vaksinasi dos penggalak COVID-19 sebanyak 70 peratus setakat ini, yang diyakini memberi perlindungan kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia merupakan sasaran yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Ini memberi perlindungan yang baik kepada pengundi-pengundi terutamanya warga emas, mempunyai komplikasi kesihatan supaya terlindung, lagi-lagi dengan kegiatan kempen yang sedang berlangsung.

“Semua perancangan sudah kami lakukan. Prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor dilonggarkan berbanding Melaka. Maklumat yang ada pada KKM, walaupun kes meningkat tetapi kesan tidak serius seperti beberapa bulan lepas,” kata beliau pada sidang media di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Klinik Kesihatan Simpang Renggam di Kluang pada Ahad(27 Feb).

Beliau juga memaklumkan vaksinasi kepada kanak-kanak pula sudah mencapai 25 peratus atau lebih 103,000 kanak-kanak melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Johor.

Beliau berkata bahawa peratusan itu melebihi peratusan di peringkat nasional iaitu 23 peratus.

Bagi mengawasi SOP PRN Johor, Khairy berkata KKM ada mewujudkan pasukan di bawah Unit Kesihatan Awam bagi memantau SOP PRN dan mengeluarkan kompaun kepada sesiapa sahaja yang melanggar SOP tanpa mengira parti atau individu.

“Saya sudah minta, pertama berikan teguran jangan kerumuni pemimpin, kedua kita minta supaya jaga penjarakan ketika jalankan jelajah mesra, kita minta penguatkuasa guna budi bicara,” kata beliau.

Mengulas mengenai petugas media yang dikompaun RM1,000 (S$320) kerana didakwa melanggar SOP COVID-19 semalam, Khairy berkata kompaun tersebut sudah dibatalkan.

“Saya sudah minta kompaun itu dibatalkan sebab saya lihat balik laporan itu, ia bukan salah beliau (wartawan).

“Saya beritahu kepada penguatkuasa kalau wartawan sedang bertugas, beri amaran dan teguran terlebih dahulu. Jika ia bukan salah beliau, beliau sememangnya ingin mendapatkan temuduga dan sebagainya, tidak perlu diberi kompaun,” kata beliau.

Pada 26 Februari, seorang petugas media yang membuat liputan proses penamaan calon bagi PRN Johor dikompaun RM1,000 (S$320) kerana didakwa melanggar SOP COVID-19, di Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di Kluang.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita