Johor cadang gubal dasar kekang spekulasi harga hartanah susuli pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-SG
(Gambar fail: iStock)
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor bercadang untuk mewujudkan dasar bagi mengekang spekulasi mengenai lonjakan harga hartanah susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata cadangan itu berikutan timbul kebimbangan ramai pihak termasuk rakyat negeri tersebut dan pelabur luar berkenaan spekulasi kenaikan harga hartanah tatkala perancangan kerajaan negeri yang membangunkan zon ekonomi khas itu sedang dilakukan.
Beliau berkata spekulasi hartanah yang berlaku itu menyebabkan harga tanah dan kediaman di beberapa kawasan melonjak tinggi dan perlu diperhalusi dan dikawal kerajaan.
"Johor perlu dasar-dasar (baharu) untuk mengekang spekulasi harga hartanah meningkat berlaku," katanya ketika menjawab soalan tambahan Encik Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad (12 Mei).
Encik Pandak bertanya mengenai jaminan kerajaan Johor terhadap nasib rakyat tempatan termasuk nelayan dari segi keselamatan di perairan, selain harga hartanah yang dijangka melonjak di kawasan Iskandar Puteri susulan pelaksanaan JS-SEZ.
Encik Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata kerajaan negeri tersebut tidak mahu kenaikan harga hartanah yang membebankan sehingga rakyat Johor sendiri tidak mampu memiliki aset hartanah di negeri itu.
"Mungkin ada premium-premium tertentu dapat diperkenalkan. Selain itu, kerajaan Johor juga akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di kawasan JS-SEZ," katanya.
Beliau berkata apa sahaja keputusan mahupun cadangan kerajaan negeri berhubung JS-SEZ akan mengutamakan rakyat tempatan.
Sementara itu, Encik Onn Hafiz berkata pertemuannya dengan persatuan nelayan baru-baru ini membincangkan pelbagai inisiatif dan insentif yang sedang dan akan disalurkan kepada nelayan dari kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Dari segi keselamatan (nelayan), perkara ini juga perlu dikemukakan dalam sesi dialog babit urus bersama kementerian terbabit. Ada 18 kementerian terlibat dalam perbincangan untuk memastikan perkara yang dibangkitkan semua pihak diambil kira," katanya.
Pada Januari lalu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dan Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.